Bebaskan 30 ekor burung merbok rai bulan merdeka - Utusan Malaysia

Bebaskan 30 ekor burung merbok rai bulan merdeka

AHMAD Asri Talib menunjukkan sangkar yang kosong setelah membebaskan burung merbok peliharaannya sempena bulan kemerdekaan di kediamannya di Taman Pawana, Segamat di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Sebagai simbolik kebebasan seorang peminat burung merbok sanggup melepaskan kira-kira 30 ekor burung miliknya yang ada antaranya bernilai RM8,000 sempena meraikan bulan kemerdekaan tahun ini.

Ahmad Asri Talib, 48, berkata, dia membuat keputusan melepaskan kira-kira 30 ekor burung merbok peliharaannya baru-baru ini yang turut bertitik tolak kepada sifat perikemanusiaan kepada haiwan tersebut.

“Saya mula memikat (menangkap) dan memelihara burung merbok sejak kanak-kanak. Selepas bekerja, saya mula membeli burung merbok terutama yang bersuara merdu sebagai hobi ketika usia mencecah 20-an.

“Ada antara burung merbok itu dibeli daripada kenalan berharga serendah RM500 sehingga paling mahal RM8,000 yang kesemuanya sebanyak 30 ekor dikurung dalam beberapa buah sangkar.

“Saya mula membebaskan kesemua burung merbok bernilai puluhan ribu itu secara berperingkat sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Pawana Segamat, di sini, semalam.

Ahmad Asri memberitahu, dia bertekad untuk mengambil tindakan demikian kerana timbul rasa insaf dan reda dalam dirinya.

Menceritakan kisah di sebalik tindakannya itu, Ahmad Asri yang juga bapa kepada 11 anak berkata, membebaskan burung itu sebagai kebebasan kehidupan daripada terus dijajah.

Menurutnya, sangkar burung itu ibarat memenjarakan kebebasan fizikal serta menyekat hak untuk membuat pilihan bagi melakukan perkara yang lebih baik tanpa sekatan seperti semasa era pra kemerdekaan.

Selain bulan kemerdekaan, katanya, dia bertindak demikian juga disebabkan sempena ketibaan Maal Hijrah 1443 baru-baru ini yang membawa makna penghijrahan.

Ahmad Asri berharap tindakannya itu turut mampu memberi kesedaran kepada generasi muda agar tidak mengurung haiwan yang secara lahiriahnya terbang bebas.

“Jadi, mereka yang berhasrat membuat pembebasan terhadap haiwan ambil lah ‘mood’ sambutan kemerdekaan ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN