GEORGETOWN: Pengguna air di Pulau Pinang kini boleh membayar bil air mereka melalui aplikasi mudah alih myPBA atau portal web myPBA tanpa sebarang tambahan bayaran transaksi.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, untuk kemudahan itu, PBAPP menanggung caj transaksi sebanyak 60 sen bagi setiap pembayaran yang sebelum ini dibayar oleh pengguna air.
Katanya, PBAPP menanggung pembayaran caj transaksi itu untuk menggalakkan seramai mungkin pengguna air menjelaskan bil air mereka secara online.
“Memandangkan pandemik Covid-19, kami menggalakkan pembayaran bil air dalam talian sebagai pilihan terbaik dan paling selamat untuk semua pihak.
“Pembayaran boleh dilakukan melalui e-banking atau kad kredit menerusi aplikasi mudah alih myPBA atau portal web myPBA,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, pembayaran minimum RM5 ditetapkan untuk semua transaksi melalui aplikasi mudah alih myPBA atau portal web myPBA.
Jelasnya, pengguna dengan peranti iOS atau Android boleh memuat turun aplikasi mudah alih myPBA dari Apple App Store atau Google Play Store manakala aplikasi myPBA membolehkan pengguna melihat dan membayar berbilang akaun air dengan satu pendaftaran e-mel.-UTUSAN ONLINE