SEREMBAN: Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mambau di sini terpaksa melalui perjalanan hidup yang baharu selepas bapanya meninggal dunia akibat Covid-19 pada hujung bulan Jun lalu.
Pelajar tersebut, Adli Adnan, 16, berkata, sebelum ini, arwah bapanya, Adnan Rawi yang menanggung perbelanjaan kehidupan mereka sekeluarga kerana ibu tidak bekerja.
Kata Adli, bapanya meninggal dunia selepas kira-kira seminggu dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dekat sini.
“Ketika kali terakhir kami berjumpa ayah, dia tidak membenarkan kami bersalam dengannya kerana dia mengadu keadaan dirinya yang tidak berapa sihat.
“Ayah sentiasa pesan supaya saya jaga hubungan adik beradik dan meminta saya menjaga diri baik-baik. Kehilangannya memang dirasakan kerana tiada siapa lagi yang mahu menegur jika buat salah,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Penyampaiam Sumbangan Kepada Pelajar B40 di SMK Mambau di sini hari ini.
Bantuan sumbangan berkenaan diberikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Amal Dan Kebajikan Al-Baasith Negeri Sembilan (Al-Baasith).
Menurut Adli, urusan perbelanjaan keluarganya kini ditanggung oleh kakaknya yang kini juga tidak dapat bekerja kerana halangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sementara itu, Pengerusi Al-Baasith, Khairul Nizam Khairuddin berkata, sehingga hari ini pihaknya telah menyalurkan bantuan kepada 400 penerima sepanjang bulan Ogos ini.
“Program ini bertujuan untuk menyalurkan bantuan kepada golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Kami memberikan keperluan makanan asas kepada setiap penerima.
“Tujuan kami supaya dapat meringankan beban penerima sekali gus mereka boleh menggunakan duit untuk tujuan lain seperti membayar bil dan sebagainya,” katanya. -UTUSAN ONLINE