Bantuan untuk penduduk terjejas PKP - Utusan Malaysia

Bantuan untuk penduduk terjejas PKP

ABDUL Azeez Abdul Rahim (kiri) membantu salah seorang wakil penduduk kampung untuk memasukkan bekalan barangan makanan ke dalam motosikal ketika mengagihkan barangan tersebut di Kampung Bechah Sawa, Mukim Siong, baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING : Lebih lapan tan ikan, 8000 ekor ayam, dan pelbagai jenis sayuran diagihkan kepada penduduk kampung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata, pada setiap hari selama seminggu ini, mereka mengedarkan sumbangan tersebut kepada lebih kurang 1,300 keluarga.

“Selain beras, gula, minyak masak, tepung dan sebagainya lagi, setiap keluarga turut menerima barangan basah seperti ikan, ayam segar dan sayur-sayuran untuk mereka masak dan makan sekeluarga.”

“Keutamaan diberikan kepada penduduk yang didapati positif Covid-19 dan dikuarantin di rumah yang jumlahnya hampir 2,000 orang, selain penduduk kampung yang terputus bekalan makanan pada ketika ini,” kata Abdul Azeez ketika mengagihkan barangan sumbangan tersebut di Kampung Bechah Sawa, di sini, baru-baru ini.

ABDUL Azeez Abdul Rahim (kanan) membantu salah seorang wakil penduduk kampung untuk memasukkan bekalan barangan makanan ke dalam motosikal ketika mengagihkan barangan tersebut di Kampung Bechah Sawa, Mukim Siong, baru-baru ini.

Menurutnya, sumbangan tersebut adalah untuk membantu mereka yang dikuarantinkan di rumah kerana mereka sekeluarga tidak dibenarkan keluar kecuali kes-kes kecemasan sahaja.

Mereka ini akan terus dibantu bagi mengelakkan kehabisan bekalan makanan dan sebagai tanda ihsan dan simpati kita kepada mereka yang ditimpa musibah.

“Saya harap mereka bersabar dan sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan, sekiranya perlukan apa-apa bantuan silalah berhubung dengan wakil-wakil kami yang ada di setiap kampung untuk dapatkan pertolongan,” katanya.

Wakil penduduk kampung, Mohd Fuad Osman, 60, berkata, mereka kini sentiasa memantau keadaan dan keselamatan penduduk kampung terutamanya yang dikuarantinkan di rumah.

“Kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa kami jaga dan sentiasa memastikan mereka mempunyai keperluanan makanan yang cukup bagi mengelakkan mereka keluar rumah sehingga tamat tempoh kuarantin.”

“Setakat ini keadaan terkawal dan mereka sentiasa mematuhi setiap arahan dan amat mengharapkan agar pendemik Covid 19 ini segera berakhir untuk sama-sama kita menjalani kehidupan seperti biasa,” kata Mohd Fuad. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN