Ban RTB runtuh: Laluan berhampiran Tol Alor Pongsu dinaiki air - Utusan Malaysia

Ban RTB runtuh: Laluan berhampiran Tol Alor Pongsu dinaiki air

TIGA remaja menaiki sampan ketika melalui jalan berhampiran Plaza Tol Alor Pongsu yang dinaiki air dekat Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Laluan keluar masuk ke Plaza Tol Alor Pongsu Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat sini dinaiki air hari ini berikutan runtuhan ban rancangan tebatan banjir (RTB) Sungai Samagagah, Alor Pongsu di Kerian di sini semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati air naik sedalam hampir satu meter menyebabkan laluan berkenaan hanya boleh dilalui kenderaan berat. 

Sementara itu, sebanyak 1,500 hingga 2,000 buah rumah dijangka terjejas banjir berikutan runtuhan ban RTB Sungai Samagagah.

Dalam kenyataannnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak berkata, setakat ini seramai 18 orang daripada enam buah keluarga telah dipindahkan apabila kediaman mereka dinaiki air akibat runtuhan ban RTB itu.

Menurutnya, banjir berpunca daripada limpahan air Sungai Samagagah akibat hujan lebat luar biasa di kawasan tadahan Sungai Kerian.

“Runtuhan ban RTB Sungai Samagagah, Alor Pongsu di Kerian berlaku pada pukul 10.30 pagi semalam.

“Ban RTB Samagagah tidak dapat menampung kapasiti air sungai yang menyebabkan ban RTB Samagagah putus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, ketinggian aras banjir dianggarkan 0.6 hingga 1.5 meter melibatkan kawasan seluas 2,811 hektar (ha).

“Aras air Sungai Beriah dan Sungai Samagagah kini mencapai paras bahaya iaitu masing-masing 3.32 meter,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sebagai penyelesaian segera, JPS mengaktifkan operasi pam kekal Matang Tengah bagi mengeluarkan air yang terperangkap serta membuka pintu di Ampang Jajar.

“JPS juga memohon peruntukan kecemasan bagi membaiki ban RTB yang putus bagi mengelakkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN