Bakal guru cari lokan untuk hidup - Utusan Malaysia

Bakal guru cari lokan untuk hidup

AHMAD Fakhrur Razi Rajab mencari lokan menggunakan kaedah mengores tanah dengan cangkul kecil dan cakar di lagun Sungai Semerak, Pasir Puteh, Kelantan. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Fakrur Razi Rajab, 25, yang sepatutnya menjadi guru, kini cekal mencari lokan di hutan paya bakau berhampiran lagun Sungai Semerak, di sini untuk dijual.

Kata pemuda itu kepada Utusan Malaysia, selagi kerja itu halal, dia tidak malu sekali pun dilihat kotor kerana perlu bergelumang dengan lumpur setiap hari, sejak setahun lalu.

“Selepas tamat belajar, cari lokan inilah kerja saya. Apa nak dimalukan, paling tidak ada juga hasil pendapatan selepas meninggalkan kampus.

“Saya masuk ke paya bakau bersama kawan-kawan dan dalam sehari, saya memperoleh lima hingga 10 kilogram lokan yang dijual pada harga RM4 sekilogram kepada pemborong,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Ahmad Fakrur Razi berkata, meskipun hasil jualan lokan kini menjadi punca pendapatan sejak dia tamat belajar, impiannya untuk bergelar sebagai seorang pendidik tidak pernah pudar.

Malah katanya, selepas Kementerian Pendidikan mengumumkan pengambilan guru secara terbuka baru-baru ini, dia turut memohon dan berharap terpilih untuk dipanggil bertugas di mana-mana lokasi.

“Lazimnya, graduan UPSI sebelum ini terpaksa menganggur antara setahun hingga empat tahun sebelum dipanggil bertugas dan sementara menunggu, saya akan teruskan kerja mencari lokan ini,” katanya.

Menurutnya, lokan dari spesies Gelonia erosa yang kaya dengan vitamin dan sumber mineral banyak terdapat di sekitar lagun Semerak dan ia mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penggemar makanan eksotik.

Bagaimanapun, katanya, ketika masuk ke kawasan paya, keselamatan diri perlu diutamakan kerana lokasi itu merupakan habitat pelbagai jenis haiwan berbisa seperti ular, ikan berduri serta tebuan tanah.

“Setiap kali mencari lokan, saya akan membawa peralatan seperti sabit, cakar dan cangkul kecil selain pergi secara berkumpulan bersama kawan-kawan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN