PASIR GUDANG: Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor perlu menyatakan pendirian partinya secara jelas sama ada menyokong atau menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, perkara itu perlu dijelaskan kerana sehingga kini UMNO Johor masih tidak memberi jawapan balas walau sudah didesak Bersatu negeri.
“Selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat pengumuman UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, kita di Johor tertanya-tanya apa pula pendirian UMNO Johor.
“Oleh itu Hasni perlu membuat keputusan dan pendirian jelas tentang pendirian UMNO Johor dalam hal ini, adakah mengikut keputusan dibuat UMNO Pusat atau sebaliknya.
“Pendirian Hasni dan UMNO Johor penting kerana ramai yang masih keliru dan tertanya-tanya hala tuju PN Johor,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bakul makanan secara simbolik kepada Majlis Ayahanda Malaysia (Masia) di Kip Mart Masai di sini, hari ini.
Minggu lalu, Ahmad Zahid menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri menyebabkan timbul pertanyaan status kerajaan PN di Johor yang terdiri daripada Bersatu, UMNO, PAS, MIC dan MCA.
Sebelum ini, Che Zakaria dilaporkan berkata seramai empat ADUN Bersatu Johor sedia menarik sokongan terhadap kerajaan PN Johor jika kepimpinan di peringkat Pusat bertukar.
Kerajaan PN Johor pimpinan Hasni ketika ini mempunyai 29 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 27 kerusi.
Mengulas lanjut, Che Zakaria turut memberitahu, pengumuman pendirian Hasni dalam sidang DUN nanti tepat pada masanya kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka hadir selaku ADUN Gambir.
“Apabila Hasni sudah membuat pengumuman, terpulang kepada kebijaksanaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sama ada bubarkan DUN, bentuk kerajaan baharu sekiranya kerajaan PN Johor runtuh atau lantik Menteri Besar interim.
“Kita yakin Sultan Johor akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan rakyat dan negeri, oleh itu kita berharap Hasni membuat keputusan bijak dan jika boleh menyokong kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Keputusan Hasni penting kerana ia akan mempengaruhi hala tuju serta kestabilan politik negeri dan pertimbangan sebaiknya wajar dibuat dalam keadaan rakyat bergelut semasa pandemik Covid-19,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










