SEREMBAN: Rakyat Negeri Sembilan diingatkan supaya tidak alpa walaupun negeri ini telah beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, rakyat perlu menyedari imuniti kelompak masih belum dicapai malah individu di bawah 17 tahun juga masih belum menerima suntikan vaksin sekali gus mendedahkan mereka kepada jangkitan Covid-19.
“Apatah lagi mutakhir ini kita juga diingatkan tentang bahaya kewujudan Varian Delta yang mempunyai potensi jangkitan sehingga 10 kali ganda. Perjalanan dan perjuangan ini masih lagi jauh sebelum kita benar-benar bebas daripada cengkaman wabak Covid-19 ini.
“Harus saya tekankan tentang pentingnya untuk kita terus kekal mematuhi SOP yang telah ditetapkan, mengamalkan disiplin kawalan kendiri serta protokol kesihatan yang betul dan sentiasa menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka di tempat awam dan sesak dan kerap mencuci tangan dengan cecair disinfeksi,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju membenarkan peralihan Fasa PPN di Negeri Sembilan daripada Fasa 1 kepada Fasa 2 berkuat kuasa esok.
Sehubungan itu, antara kelonggaran yang diberikan kepada penduduk di negeri ini ialah rentas daerah bagi individu yang telah lengkap menerima vaksin Covid-19 dan kebenaran aktiviti pelancongan dalam daerah dan negeri yang sama melibatkan hotel dan inap desa (homestay)
Sementara itu, Aminuddin berkata, pemain industri pelancongan di negeri ini juga sudah bersedia untuk menerima semula kehadiran pengunjung walaupun hanya dari dalam negeri.
“Rakyat negeri ini juga saya yakin sudah rindu untuk mengunjungi tempat-tempat pelancongan di sini jadi saya harap mereka untuk terus kekal menjaga SOP selain menjaga kebersihan destinasi pelancongan tersebut,” katanya.- UTUSAN ONLINE