KOTA KINABALU: Lima ahli Parlimen pembangkang termasuk pemimpin dari Sabah dan Sarawak mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) meletak jawatan secara terhormat dengan serta-merta.
Desakan itu dibuat melalui satu kenyataan bersama oleh Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Masir Anak Kujat, Ahli Parlimen Selangau Baru Bian dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, hari ini.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan perkembangan mesyuarat khas sidang Parlimen pada 26 Julai lalu, terbukti kerajaan PN tidak punya kesungguhan dan gagal dalam mentadbir urus negara ini terutama dalam membendung wabak Covid-19.
“Kami juga mengambil serius rasa dukacita Yang di-Pertuan Agong terhadap Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Tan Sri Idrus Harun yang gagal dalam menjalankan titah dan perkenan Agong yang memerintahkan cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang, dibahas di Parlimen.
“Keputusan dan tindakan kerajaan PN secara jelas ingkar dan tidak patuh kepada titah Agong dan kami berpendirian bahawa kerajaan PN dengan sengaja menghalang dan mematikan kesuburan sistem demokrasi dan semak imbang yang perlu diangkat dan diterjemahkan melalui institusi Parlimen di negara ini,” kata mereka.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Mohd. Shafie, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Madius dan Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik (MUDA), Syed Saddiq serta dua pemimpin pembangkang itu menyatakan, asas dan tunjang kepada Perlembagaan negara ini harus dipertahankan.
Ia perlu diterjemahkan melalui tindakan secara profesional tanpa wujudnya faktor fear & favour yang akan mencalar sistem pentadbiran yang telus dan berintegriti.
Mereka juga menyokong titah Agong bahawa kepentingan serta keperluan Institusi Parlimen Malaysia dimartabatkan dan Perlembagaan Persekutuan hendaklah sentiasa dipatuhi.
Pada 29 Julai, Istana Negara mengeluarkan kenyataan mengenai rasa dukacita Agong berkaitan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat tanpa diperkenan oleh Agong. -UTUSAN ONLINE