JERANTUT: Sejumlah 1,300 ekor ikan patin seberat 1.3 tan akan menjadi juadah makan tengah hari penduduk yang masih dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 8 Ogos hingga 21 Ogos ini di Kampung Kuala Tahan di sini hari ini.
Ahmad Nazlan berkata, ikan patin berkenaan diperoleh daripada pengusaha ternakan kolam di Kampung Perlok, Hulu Cheka di sini berikutan tidak dapat dipasarkan sejak tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal tahun ini.
“Saya cukup bersimpati dengan nasib pengusaha ternakan di Kampung Perlok apabila pasaran terbantut dalam tempoh PKP ini lalu, terus ‘memborong’ sejumlah 1,300 ekor ikan patin untuk membantu lokaliti PKPD di Kampung Kuala Tahan.
“Menerusi cara ini, Pejabat Parlimen Jerantut dapat membantu meringankan beban penternak ikan patin dan pada masa yang sama turut memberikan keselesaan penduduk Kuala Tahan menyediakan juadah tengah hari dalam tempoh beberapa hari ini,” katanya
di Kuala Tahan dekat sini hari ini.
Proses pengagihan ikan mendapat bantuan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), pertubuhan Bird Group Taman Negara, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jawatankuasa Dangau Rezeki Komuniti Kuala Tahan.
Ahmad Nazlan berkata, beliau terpanggil untuk membantu penduduk di situ yang kebanyakannya bekerja di sektor ekopelancongan Taman Negara dan masih terjejas pendapatan dan tekanan perbelanjaan sejak pelaksanaan PKP awal tahun ini.
“Kesusahan ditanggung semakin berat apabila lokaliti Kuala Tahan diletakkan di bawah penguatkuasaan PKPD sejak 8 Ogos hingga 21 Ogos ini berikutan penularan wabak Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi JKKK Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd. Rahman berkata, sebanyak 550 buah keluarga telah menerima sumbangan ikan patin berkenaan yang diagihkan ke rumah oleh sukarelawan terbabit menerusi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta dipantau pihak berkuasa beruniform.
“Bakinya, kita akan simpan di peti sejuk di Dangau Rezeki Komuniti Kuala Tahan sebagai stok bantuan kecemasan keperluan dapur memandangkan tempoh PKPD belum berakhir dan ada penduduk berdekatan yang sangat memerlukan bantuan.
“JKKK serta pengusaha dan penggiat ekopelancongan di sini sangat bersyukur dan berterima kepada Ahli Parlimen Jerantut yang begitu prihatin membantu kebajikan penduduk di sini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










