BAGAN SERAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat kecewa dengan kejadian ban rancangan tebatan banjir (RTB) rebak sehingga menyebabkan beberapa buah kampung di sini dilanda banjir baru-baru ini.
Menurutnya, sebelum ini kerajaan telah memberikan memperuntukkan besar sehingga RM400 juta untuk pelaksanaan projek ban RTB di seluruh daerah Kerian bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di sini.
Katanya, peruntukan itu melibatkan kerja baik pulih dan membina ban RTB baharu di seluruh daerah Kerian.
“Selepas banjir besar di Mukim Beriah pada tahun 2003, kerajaan telah memperuntukkan keseluruhan sehingga RM400 juta untuk mengatasi masalah banjir dengan pembinaan ban RTB baharu serta baik pulih ban RTB yang siap pada tahun 2017.
“Kita telah diberikan jaminan bahawa ban RTB yang telah siap terjamin keutuhannya sehingga 20 tahun, namun, apa yang berlaku baru-baru ini amat mengecewakan, ” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Outreach di Kampung Nibong Hangus dekat sini hari ini.
Sham berkata, kelebaran ban RTB di daerah ini perlu dilebarkan daripada tiga meter sekarang kepada lima meter.
Menurutnya, ini bagi memastikan ban RTB itu benar-benar kukuh untuk menahan limpahan air sungai terutama ketika musim tengkujuh.
“Selain itu, ban RTB perlu ditanam cerucuk agar ia lebuh kukuh dan tidak mudah rebak,” katanya.
Mengenai kerja baik pulih ban RTB yang rebak, Sham berkata, lokasi ban rebak iaitu di Kampung Selekoh, Matang Pasir dan Kampung Parit Haji Kassim di sini sudah siap sebelum kerja baik pulih keseluruhan ban RTB berkenaan dimulakan.
“Bahagian ban yang rebak telah dibaiki sebelum dibaik pulih secara keseluruhan melibatkan ban sepanjang dua kilometer dari Kampung Selekoh Matang Pasir ke arah kilometer 179.2 arah selatan Lebuhraya Utara Selatan.
“Sebanyak RM800,000 telah dipohon oleh JPS bagi membaikpulih ban RTB yang rebak,” katanya. – UTUSAN ONLINE