KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gua Ipoh, Bakri Mustapha meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Bakri, keputusan itu sebagai tanda solidariti kepada UMNO dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan parti tersebut yang tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kata beliau, peletakan jawatan itu telah dimaklumkan kepada Pengerusi Kesedar yang juga Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menerusi aplikasi WhatsApp sebelum disusuli surat rasmi.
“Keputusan ini juga telah dimaklumkan kepada Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan beliau menghormatinya,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat UMNO Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Bakri berkata, keputusan meletak jawatan dibuat atas kerelaannya sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak, sebaliknya kerana sayangkan UMNO dan demi mengangkat maruah parti serta Presidennya.
Selepas UMNO tidak lagi menyokong kerajaan PN, beberapa pemimpin parti itu bertindak meletak jawatan antaranya Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang merupakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli serta Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi).
Turut meletak jawatan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Pengerusi Boustead Holding Berhad), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (Pengerusi Lembaga Pengarah UMS), Datuk Razlan Muhammad Rafii (Ahli Lembaga Pengarah Tabung Angkatan Tentera) dan Datuk Rosni Sohar (Ahli Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional).-UTUSAN ONLINE










