55 pekerja warga asing ditahan langgar Akta Imigresen - Utusan Malaysia

55 pekerja warga asing ditahan langgar Akta Imigresen

OPERASI bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di sebuah kilang pembuatan seramik di Nilai, Seremban, semalam.-GAMBAR/IHSAN JIMNS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pemeriksaan di sebuah kilang pembuatan seramik di kawasan perindustrian Nilai di sini semalam membawa kepada penahanan 55 orang pekerja warga asing yang didapati melanggar Akta Imigresen.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS), Kennith Tan Ai Kiang berkata, dalam operasi bersepadu yang dijalankan pada pukul 7.30 pagi semalam itu, didapati seramai 241 orang pekerja warga asing yang terdiri daripada warga Bangladesh dan Nepal sedang bekerja dalam premis tersebut.

“Pemeriksaan teliti telah dilakukan dan JIMNS telah berjaya menahan seramai 55 orang warga asing disyaki telah melanggar Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 48 orang lelaki warganegara Bangladesh dan tujuh lelaki warganegara Nepal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ai Kiang, warga asing yang ditahan itu didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana telah tinggal di Malaysia setelah Pas Lawatan Kerja Sementara mereka telah tamat tempoh antara enam bulan sehingga setahun.

“Selain itu, ada juga pekerja warga asing itu ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua yang ditahan juga didapati tidak memohon untuk menyertai program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

Jelas Kennith, walaupun dalam tempoh Fasa Pemulihan Negara, tidak bermakna kegiatan menyalahi undang-undang negara akan dibiarkan berlaku.

“Tangkapan dan pendakwaan akan tetap dilakukan ke atas mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan. 

“Orang ramai diminta untuk terus menyalurkan maklumat tentang pendatang asing tanpa izin supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya