BUKIT MERTAJAM: Seramai tiga lelaki warga tempatan ditahan manakala sebanyak 2.4 metrik tan minyak masak dan 4 metrik tan diesel dirampas bersama sebuah lori dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM28,000, semalam.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, penahanan dan rampasan itu dibuat kira-kira pada pukul 12 tengah hari susulan pemeriksaan di sebuah stor di Taman Limau Manis, di sini.
Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menjalankan risikan selama sebulan hasil aduan orang ramai sebelum menyerbu dan memeriksa stor berkenaan.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, ketiga-tiga lelaki itu ditahan kerana disyaki telah memotong plastik minyak masak bersubsidi seberat 1 kilogram (kg) serta telah memindahkan minyak tersebut ke dalam tangki fiber.
“Selain itu, terdapat sejumlah minyak diesel yang disimpan di premis tersebut yang disyaki tidak mempunyai lesen atau permit yang sah,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kes itu kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mana-mana individu yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, jelasnya, boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sementara itu, bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda yang dikenakan adalah tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” ujarnya.
Justeru, beliau mengingatkan mana-mana peniaga yang menjual atau menggunakan barang kawalan berjadual seperti minyak masak dan diesel supaya memohon lesen atau permit kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terlebih dahulu sebelum menjalankan operasi masing-masing. -UTUSAN ONLINE