PETALING JAYA: Sebanyak 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu memohon Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen jika tiada parti politik memperoleh majoriti bagi membentuk sebuah kerajaan.
Mereka juga meminta Agong mengisytiharkan darurat atau menubuhkan Majlis Khas Pemulihan Krisis Negara jika parti politik gagal membuktikan bahawa mereka mempunyai sokongan ahli Dewan Rakyat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, bagi menangani krisis politik dan segala permasalahan di negara ini, kerajaan baharu yang dibentuk perlu dalam keadaan stabil dan mempunyai majoriti mencukupi supaya tidak dapat digugat oleh mana-mana pihak.
Jelas kenyataan itu, hal ini seterusnya membolehkan kerajaan baharu ini lebih fokus dalam mentadbir negara.
“Rakyat menjadi saksi terhadap keadaan di mana kerajaan sebelum ini mempunyai majoriti yang tipis dan sentiasa diganggu gugat, sekali gus tidak boleh fokus untuk mentadbir negara.
“Untuk meluluskan undang-undang, ini memerlukan sokongan ahli Parlimen yang mencukupi dan dalam keadaan itu, sebagaimana yang telah rakyat saksikan, polemik siapa yang layak memegang kuasa akan berterusan dan dizahirkan di persidangan Dewan Rakyat,” kata kenyataan itu hari ini
Kenyataan itu dibuat secara bersama melibatkan 26 NGO antaranya Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Persatuan Pengguna Islam Malaysia ( PPIM) dan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).
Tambah kenyataan itu lagi, Malaysia hari ini dalam krisis yang luar biasa dan Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil.
Malah, katanya, memandangkan situasi pandemik masih belum berjaya dikawal, bahkan kes terus meningkat manakala program vaksinasi masih berlangsung, pilihan raya umum terpaksa ditangguhkan.
“Rakyat tidak ada pilihan selain menyerahkan kepada budi bicara serta kebijaksanaan ke bawah duli tuanku untuk menggunakan kuasa eksekutif yang dimiliki baginda ketika ini, dalam keadaan ini untuk menubuhkan sebuah Majlis Khas, terhad tempoh dan kuasa seperti Majlis Gerakan Nasional (Mageran),” tambah kenyataan itu. -UTUSAN ONLINE