PORT DICKSON: Hanya 2.2 peratus daripada keseluruhan 1,048,566 penjawat awam di negara ini gagal dikesan dan tidak mempunyai rekod menerusi aplikasi MySejahtera telah menerima suntikan vaksinasi Covid-19 sehingga 19 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, melalui semakan silang data penjawat awam ini, mereka yang tidak mendaftar untuk menerima vaksin ini adalah kerana faktor kesihatan dan ada juga yang ragu kerana sedang mengandung.
“Dalam pada itu, kami juga meminta pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya mempercepatkan hampir 30,000 penjawat awam yang sudah berdaftar namun belum mendapat sebarang tarikh janji temu menerima vaksin.
“Mereka ini sudah mendaftar menerusi MySejahtera jadi apabila mereka ini sudah menerima vaksin, ia memudahkan lagi pembukaan lebih banyak sektor perkhidmatan awam kelak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mobilisasi Vaksin Komuniti di Dewan Orang Ramai Taman Siliau Jaya, Siliau, Port Dickson hari ini.
Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab. Malik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar.
Tambah beliau, bagi peringkat kerajaan negeri pula, sebanyak 5.3 peratus daripada keseluruhan 118,000 penjawat awam yang tidak mempunyai sebarang rekod pendaftaran vaksin menerusi MySejahtera.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 2.7 peratus telah mendaftar dan sudah mempunyai tarikh janji temu manakala 3.2 peratus masih belum mempunyai janji temu penerimaan vaksin,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Khairul Adib berkata, pihaknya mengakui sememangnya terdapat gangguan dalam perkhidmatan dan penyampaian awam ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Memang ada ada sedikit perkhidmatan kerajaan yang terganggu bagaimanapun semua penjawat awam masih perlu mengekalkan produktiviti termasuk ketika bertugas dari rumah dan melaksanakan tugas yang diberi.
“Ada juga beberapa sektor kerajaan yang perlukan kehadiran contohnya Jabatan Pendaftaran dan selepas peralihan fasa selepas ini, banyak lagi sektor perkhidmatan awam yang akan dibuka dan mereka perlu bersedia untuk kembali ke pejabat,” katanya.- UTUSAN ONLINE