SEREMBAN: Hanya tinggal kira-kira 14,000 orang penduduk di negeri ini yang telah mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera masih belum menerima tarikh temu janji untuk mendapatkan dos pertama vaksin berkenaan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah tersebut adalah daripada seramai 835,475 orang penduduk di negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas yang mendaftar untuk menerima vaksin.
Bagaimanapun beliau berkata, kesemua mereka akan menerima janji temu secara berperingkat dan ia dijangka dapat diselesaikan minggu hadapan.
“Kita tahu penduduk di negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas semuanya sudah berdaftar di MySejahtera, yang belum mendapat janji temu hanyalah 14,000 orang untuk dos pertama. Saya yakin, apabila mereka mula dapat janji, kita boleh selesaikan dalam minggu hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara dalam talian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri dekat sini hari ini.
Sementara itu, Aminuddin berkata, sehubungan itu juga pemberian vaksin dos pertama di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan swasta di negeri ini juga akan diberhentikan mengambil kira jumlah dos vaksin yang diterima negeri ini yang semakin berkurangan.
“Minggu ini kita cuba dapatkan vaksin semaksimum yang kita boleh, untuk dos kedua kita mungkin boleh capai sehingga 31 Ogos ini sebanyak 80 peratus penerimanya. Bagi dos pertama pula kita sudah capai lebih 90 peratus mungkin ini yang menyebabkan pemberian vaksin dikurangkan bagi Negeri Sembilan.
“Pemberian dos kedua akan berterusan sehingga selesai di PPV yang sedia ada dan kerajaan negeri turut merancang apabila pemberian dos pertama telah mencapai lebih 96 peratus, kita akan membuka PPV walk-in di semua daerah khas untuk penduduk negeri ini pada tarikh dan waktu yang sama secara serentak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kesemua ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin Covid-19 selain turut diwajibkan menjalani ujian calitan bagi menghadiri persidangan DUN yang bermula pada 3 September depan.
“Perjalanan sidang juga akan mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang ketat selain hanya mengambil masa yang terhad berbanding sebelum ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE