KUALA LANGAT: Dasar yang baik daripada kerajaan sebelum ini khususnya berkaitan Kementerian Kewangan akan diteruskan sebagai salah satu elemen dalam petunjuk indeks prestasi (KPI) 100 hari selaras dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’ seperti diumum Perdana Menteri.
Menurut Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, selepas mengangkat sumpah hari ini, beliau juga akan memanggil semua pihak berkepentingan bagi mendapat input terbaik sebagai persediaan merangka Belanjawan 2022 yang akan dibentang pada Oktober nanti.
“Kita menyambut baik KPI 100 hari tersebut. Dasar yang terbaik untuk rakyat juga akan kita teruskan sebagaimana yang diumumkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) serta bantuan di bawah Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) sebanyak RM19 juta.
“Bagi menjayakan Belanjawan 2022 kita juga akan mendapatkan input bukan sahaja daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan, pembangkang dan yang berkepentingan,” katanya selepas melawat Pusat Kebudayaan Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey, semalam.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul dalam lawatan itu turut menghulurkan bantuan barang bernilai RM10,000 kepada 100 keluarga suku Mahmeri yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Selepas setahun lebih Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19 dikuatkuasakan ramai penggiat seni termasuk penggiat seni ukir di sini turut terkesan.
“Sehubungan dengan itu hari ini kita menghulurkan bantuan bakul prihatin kepada penggiat seni keluarga suku Mah Meri,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pengumuman kabinetnya meletakkan 100 hari sebagai tempoh untuk menteri dan timbalan menunjukkan prestasi khususnya ketika usaha menangani krisis wabak pandemik dan ekonomi.
Dalam pengumuman itu, Tengku Zafrul antara menteri yang dikekalkan di dalam kabinet dan akan mengangkat sumpah esok di Istana Negara. – UTUSAN ONLINE










