Vaksinasi harian capai sasaran 300,000 sehari - PM - Utusan Malaysia

Vaksinasi harian capai sasaran 300,000 sehari – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berbangga kadar vaksinasi negara mencapai 313,761 dos sehari, semalam.

Beliau berkata, angka itu sekali gus menepati sasaran yang ditetapkan kerajaan ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Jun lalu untuk mencapai pemberian lebih 300,000 dos sehari.

Selain itu, kata beliau, perkara itu turut diberi fokus dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) iaitu mempercepatkan program vaksinasi ke atas populasi di Malaysia.

“Alhamdulillah, semalam kita telah berjaya mencapai sasaran kadar vaksinasi kepada 313,761 dos sehari dengan 6.585 juta terima dos pertama dan 2.735 juta orang lengkap terima dua dos vaksin.

“Melihat kepada kejayaan ini, kerajaan optimis bahawa segala usaha dirancang berada di landasan tepat,” katanya dalam rakaman video yang disiarkan di Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin pada masa sama merakamkan ucapan penghargaan kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan semua petugas barisan hadapan serta sukarelawan dan seluruh rakyat bersama dalam menjayakan program vaksinasi terbesar negara ini.

Katanya, ini bagi memastikan negara berjaya mencapai imuniti kelompok dan seterusnya membawa negara kembali menjalani kehidupan sebelum pandemik Covid-19. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN