KOTA KINABALU: Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) melihat ada keperluan untuk Yang di-Pertuan Agong melantik kerajaan interim sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta anggota Kabinetnya meletak jawatan.
Demikian cadangan yang dikemukakan Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick mengenai situasi politik semasa yang berlaku di negara ini.
Beliau berkata, mandat boleh diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik kerajaan interim merangkumi wakil semua parti di Parlimen bagi satu tempoh khas untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Bagaimanapun katanya, apabila situasi pandemik sudah reda maka, pilihan raya boleh diadakan dan rakyat boleh membuat pilihan siapa mereka mahu menjadi kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, Muhyiddin dan Kabinetnya jelas membelakangi Agong dalam urus tadbir pembatalan Ordinan Darurat, mengenepikan titah Agong supaya ordinan berkenaan dibentang, dibahas dan diputuskan di Parlimen serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.
“Malah, kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri semalam seolah-olah memberi gambaran Agong yang melakukan kesilapan. Ini memberi implikasi besar kepada sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengiringi ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe membuat laporan polis terhadap Muhyiddin di Balai Polis Karamunsing hari ini.
Dalam pada itu, beliau menggesa agar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuka semula bagi membolehkan Sabah dapat membentangkan program pemulihan sendiri.
“Sabah tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada program pemulihan persekutuan dan kita mesti memiliki program sendiri kerana Sabah mempunyai cabaran tersendiri. Maka, pendekatan dan kaedah penyelesaian kita berbeza dengan Persekutuan.
“Justeru, DUN perlu bersidang semula bagi membolehkan usaha mewujudkan program pemulihan ini dapat dilakukan,” katanya.
Semalam, Istana Negara mengeluarkan kenyataan mengenai rasa sangat dukacita Agong berkaitan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat tanpa diperkenan Baginda.- UTUSAN ONLINE