UNGCMYB lancar panduan tangani perubahan iklim - Utusan Malaysia

UNGCMYB lancar panduan tangani perubahan iklim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) melancarkan MyClimateAction Guide yang pertama dengan kerjasama Tata Consultancy Services (TCS Malaysia), Nottingham University Business School (NUBS) dan SENTRAL College Penang.

Panduan khusus untuk Malaysia itu diwujudkan bagi menggalak dan meningkatkan lagi penyertaan dalam tindakan menangani perubahan iklim menerusi pendekatan yang pragmatik dan praktikal.

Ia juga untuk dijadikan sebagai rujukan oleh pemimpin korporat, sekolah perniagaan dan pihak yang berkaitan dalam memulakan usaha menangani perubahan iklim.

Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Feroze Nadar berkata, di peringkat global, setiap pihak  hanya mempunyai masa sehingga 2030 untuk menghindarkan berlakunya perubahan iklim yang tidak terkawal.

“Adalah penting bagi semua syarikat tanpa mengira saiz untuk bertindak, terutamanya di Malaysia di mana sehingga 98.5 peratus daripada perniagaan berdaftar adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Sektor swasta adalah rakan penting dalam usaha memerangi perubahan iklim,” katanya dalam kenyataan sempena majlis pelancaran panduan itu secara dalam talian.

Majlis tersebut turut disertai oleh para pemilik perniagaan, ahli lembaga pengarah, pengurusan kanan dan ketua jabatan syarikat-syarikat besar dan bersaiz sederhana, serta jabatan-jabatan kerajaan.

Ujar Feroze, menerusi MYClimateAction Guide, pihaknya menyediakan pendekatan mudah dan pragmatik bagi membolehkan syarikat-syarikat memahami dengan mudah risiko yang ada, peluang daripada perspektif perniagaan dan cara-cara memulakan tindakan perubahan iklim.

Feroze menjelaskan, hakikatnya, mengambil tindakan dalam menangani perubahan iklim adalah tanggungjawab penting bagi perniagaan.

“Syarikat-syarikat di Malaysia akhirnya perlu mematuhi syarat mesra iklim yang lebih ketat daripada pelanggan antarabangsa yang telah pun mempersetujui sasaran pelepasan sifar bersih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Negara TCS Malaysia, R. Jeevan berkata, pihaknya telah membantu perniagaan di seluruh dunia untuk melaksanakan transformasi sejak berdekad lamanya, namun usaha untuk membantu semua perniagaan melakukan perubahan bagi menangani perubahan iklim ternyata merupakan satu tanggungjawab yang terbesar baginya setakat ini.

Jeevan memberitahu, tindakan iklim adalah amat penting, tetapi masih banyak lagi syarikat yang belum bersedia, selalunya mereka memandang perkara ini hanya sebagai tanggungjawab sosial korporat sahaja.

“Oleh itu, kami ingin membantu memacu pendekatan strategi perniagaan bagi menangani isu penting ini.

“Kami memiliki keupayaan untuk menggabungkan pandangan dunia kami yang dipacu oleh matlamat dengan inovasi digital, dalam usaha untuk memimpin dan membentuk penyelesaian demi kelestarian masa depan, dengan memanfaatkan pengalaman global kami dalam penggunaan internet benda (IoT), pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (AI) bagi mengoptimumkan kecekapan tenaga dan mengurangkan pelepasan,” jelasnya. 

MYClimateAction Guide adalah salah satu daripada panduan tindakan iklim khusus untuk sektor swasta di Malaysia, yang menyasarkan untuk memacu tindakan positif terhadap perubahan iklim bagi mencapai ekonomi sifar karbon. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya