UMNO Sabah kekal bersama GRS - Utusan Malaysia

UMNO Sabah kekal bersama GRS

GRS fokus bangun Sabah berbanding PRN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen UMNO Sabah akan turut menarik sokongan daripada Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT).

Bagaimanapun, di peringkat negeri, UMNO Sabah akan terus kekal bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai menghormati mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

Kenyataan itu sekali gus menafikan khabar angin bahawa kerajaan GRS akan tumbang susulan keputusan UMNO menarik sokongan daripada PN dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam.

BUNG MOKTAR RADIN dan MOHAMAD ALAMIN

Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, UMNO Sabah akan ikut keputusan yang dibuat di peringkat pucuk pimpinan parti untuk menarik sokongan daripada Perikatan Nasional (PN).

Namun, tiada keperluan untuk UMNO Sabah meninggalkan GRS kerana mandat sudah diberikan oleh rakyat kepada GRS untuk memerintah di negeri ini.

“Maka, GRS akan terus kekal dan UMNO Sabah akan menggunakan autonomi bagi membuat keputusan di peringkat negeri.

“Setakat ini tiada sebarang tekanan daripada pucuk pimpinan untuk meminta UMNO Sabah meninggalkan GRS. Kita akan terus bekerja untuk memulihkan ekonomi di negeri ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Turut senada ingin mengekalkan kerjasama dengan PN di peringkat negeri adalah Ahli Parlimen Kimanis.

Mohamad berkata, beliau menyokong keputusan Ketua UMNO Sabah untuk mengekalkan kerjasama dengan GRS di Sabah.

Jelas beliau, GRS sudah diberikan mandat oleh rakyat bagi memimpin negeri Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 maka, kerjasama itu harus diteruskan.

Di peringkat negeri, 45 daripada 79 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi oleh GRS dalam PRN Sabah pada 26 September 2020. Daripada jumlah itu, 16 kerusi milik UMNO Sabah, 23 kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan enam kerusi Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sementara itu, 32 kerusi pula dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) serta dua ADUN Bebas.

Dalam mesyuarat MT UMNO semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN berkuat kuasa serta-merta. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya