UMNO perlu runding dengan PN jika mahu menang PRU-15 - Utusan Malaysia

UMNO perlu runding dengan PN jika mahu menang PRU-15

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu membuka pintu rundingan dengan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, hal demikian perlu memandangkan Timbalan Perdana Menteri kerajaan PN telah dilantik dalam kalangan pemimpin UMNO.

Tegasnya, segelintir pemimpin UMNO perlu bersifat jujur dan jangan membohongi rakyat iaitu jika parti itu menarik sokongan daripada PN adakah mereka akan bekerjasama dengan PKR serta DAP.

“UMNO sedar jika bergerak bersendirian dalam pilihan raya, mustahil akan menang melainkan menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik. Jadi, jika tidak bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas di dalam PN, adakah hendak bekerjasama dengan PKR dan DAP?

“Takkan hendak jadi pembangkang jika hendak bergerak sendirian, sudah pasti memerlukan kerjasama untuk membentuk kerajaan. Untuk menang besar, UMNO perlu bekerjasama dengan PN dan rundingan tersebut perlu sentiasa dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Shahidan memberitahu, majoriti ahli Parlimen BN iaitu sekitar 37 daripada 42 orang kekal menyokong kerajaan PN.

Katanya, sebagai Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) beliau akan bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi bagi meminta agar seluruh pemimpin BN menyokong PN.

“Kalau pihak BN tidak sokong, mereka boleh menghadapi tindakan daripada parti masing-masing. Sebab Presiden UMNO menyebut kita menyokong kerajaan PN, menyokong bererti kena sokonglah tidak boleh kata bebas mengundi.

“Presiden UMNO ada berkata tiga benda, sokong kerajaan PN, tarik sokongan kepada Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan ahli Parlimen bebas (membuat pilihan). Ahli Parlimen tidak boleh bebas, kena sokong kerajaan PN sebab itu kenyataan Presiden yang pertama itu,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, tohmahan pembangkang atau Pakatan Harapan (PH) bahawa kerajaan PN gagal adalah tidak berasas sebaliknya kerajaan telah mentadbir dengan cukup baik khususnya ketika berdepan pandemik Covid-19.

“Gagal apa, cuba beritahu, gagal vaksin, pemberian vaksin makin meningkat, malah bantuan pula sentiasa berterusan. Yang gagal dahulu adalah PH dan kalau mereka mengurus dengan baik tidak mungkin kerajaan ditukar.

“Kalau PH dulu urus dengan elok, orang tidak akan jatuhkan mereka dengan hanya bertahan sekitar 22 bulan sahaja. Berlaku ketika itu krisis ekonomi, perniagaan, perkauman. Mereka telah diberi peluang memerintah 22 bulan, kami baharu setahun,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×