Trend kes positif Covid-1 di Labuan menurun - Utusan Malaysia

Trend kes positif Covid-1 di Labuan menurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Jumlah kes positif Covid-19 di Wilayah Persekutuan Labuan menunjukkan trend penurunan sehingga semalam dan dijangkakan akan turun ke 700 kes minggu ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, dari segi kadar kebolehjangkitan pula, jumlah nilai positif R-naught (Rt) juga menurun kepada 0.86 berbanding 2.0 pada minggu ke-20.

Beliau berkata, setakat Khamis lalu, seramai 57,243 (83.57 peratus) daripada populasi dewasa Labuan telah menerima dos pertama vaksin dan 22,049 (32.19 peratus) telah menerima kedua-dua dos vaksin.

“Dijangkakan 80 peratus populasi dewasa Labuan akan menerima dos vaksin kedua mereka pada minggu keempat bulan ini.

“Sebelum ini, Labuan telah mencatatkan 8,922 kes Covid-19. Peningkatan kes yang tinggi ini adalah disebabkan oleh serangan VOC Delta B.1.617.2 yang mula dikesan di Labuan pada 23 April lalu,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, Jawatan Kuasa Bencana Labuan dan Jabatan Peneraju, Jabatan Kesihatan Labuan akan terus berusaha mengawal situasi wabak di Labuan.

Annuar berkata, antara tindakan diambil termasuk menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan program sanitasi terancang.

“Program lain termasuk pemantauan khas, program surveilan, program promosi kesihatan, penguatkuasaan bersepadu dan mewujudkan hospital medan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN