PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM15.9 juta tahun ini untuk penajaan kemudahan pembelajaran secara dalam talian, kelengkapan asas persekolahan murid, bengkel dan kelas tuisyen serta persiapan peperiksaan kepada 50,000 pelajar sekolah.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya telah menaja dan melaksanakan pelbagai program di peringkat sekolah bagi memupuk generasi masa depan di samping meringankan beban keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) sejak 2013.
“Bermula dengan program Sekolah Pintar yang diinspirasikan Khazanah Nasional, kami telah mengasah pencapaian akademik, bakat dan kecemerlangan menyeluruh lebih 4,0888 pelajar di sekolah terpinggir.
“Selain itu, sebanyak 11 sekolah luar bandar di seluruh negara terpilih untuk program yang sama pada tahun ini dengan bantuan RM315,000 untuk aktiviti seperti kem motivasi, kelas tuisyen, seminar dan bengkel peperiksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, TNB juga membelanjakan RM 32 juta atau RM 6.4 juta setahun selama lima tahun untuk program transformasi pendidikan di lapan sekolah terpilih di Perak, Terengganu, Selangor dan Kelantan di bawah program Sekolah Amanah.
Program itu, katanya, atas usaha sama dengan Kementerian Pendidikan dan Yayasan Amir di bawah Khazanah Nasional yang memberi manfaat kepada 6,991 pelajar di sekolah-sekolah luar bandar.
Mahdzir turut berkata, pihaknya memberikan elaun sejumlah RM1,500 setahun bagi setiap pelajar sejak 2018 dan tahun lalu, seramai 150 pelajar menerima manfaat bantuan sebanyak RM513,000.
“Selain itu, TNB juga menyokong usaha merapatkan ruang digital menerusi penyediaan laptop, tablet dan talian data untuk 150,000 pelajar sekolah menengah di bawah tajaan Tabung Cerdik (Cerdik) anjuran Yayasan Hasanah dengan TNB sebagai penaja utama.
Mengulas tentang program Ceria Ke Sekolah, katanya Mahdzir, 30,000 murid dari keluarga B40 telah dan bakal menerima sumbangan kelengkapan persekolahan dengan peruntukan RM3 juta tahun ini.
Malah, lebih 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah turut menerima sumbangan cermin mata percuma di bawah Program Better Brighter Vision (BBV).
“Tahun ini juga TNB memberikan pelbagai bentuk tajaan pendidikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada lebih 96 sekolah di Semenanjung bagi menjayakan pelbagai aktiviti sekolah dengan nilai sumbangan RM536,000 sehingga Jun lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE