Tindakan tegas guna alasan palsu balik beraya - Utusan Malaysia

Tindakan tegas guna alasan palsu balik beraya

MOHD ROZE SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Kedah akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didapati menggunakan alasan palsu bagi merentas daerah atau negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha, Selasa ini.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari memberitahu, pemantauan akan dilakukan ke atas mereka yang mengambil kesempatan atas kebenaran pergerakan dikeluarkan oleh pihak polis. 

“Tindakan tegas akan diambil termasuk mengenakan kompaun kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan alasan palsu untuk pulang ke kampung bagi meraikan Aidiladha pada Selasa ini.

“Seluruh penduduk diingatkan tentang larangan aktiviti merentas negeri atau daerah dalam tempoh Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara yang masih lagi berkuat kuasa sehingga hari ini.

“Ia berikutan pertambahan jumlah permohonan rentas negeri dan daerah dalam tempoh terdekat dan ini menunjukkan ramai yang ingin memohon untuk merentas negeri dan daerah atas pelbagai alasan dan tujuan,” ujarnya.

Beliau pada masa sama meminta orang ramai yang mengetahui sebarang aktiviti rentas negeri dan daerah bagi tujuan menyambut hari raya di kampung halaman atau melancong di dalam negeri boleh memaklumkan kepada polis.

“Maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Kawalan Covid-19 Kontinjen Kedah di talian 04-7741275 atau terus kepada bilik kawalan daerah berdekatan,” tambahnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN