Tiada usul tergempar dalam Sidang DUN Johor - Utusan Malaysia

Tiada usul tergempar dalam Sidang DUN Johor

CHE Zakaria Mohd. Salleh (kiri) menyampaikan bantuan RM500,000 Kejora kepada Hasni Mohammad (tengah) untuk Tabung Bencana Negeri Johor di Iskandar Puteri, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini dijangka tidak akan menyaksikan sebarang usul tergempar daripada mana-mana pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, ini termasuklah usul menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Sehubungan itu katanya, Sidang DUN Johor dijangka tenang dan lancar terutama selepas tiada perubahan kerajaan di peringkat Pusat.

“DUN Johor hanya akan panas atau akan ada usul tergempar sekiranya berlaku pertukaran kerajaan di peringkat nasional. Setakat ini saya tidak dengar ada ADUN yang akan membuat usul sedemikian.

“Setiap ADUN perlu fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat dan diharapkan DUN Johor kekal menjadi contoh, tidak seperti Sidang DUN di Kelantan, Terengganu dan Melaka yang sering kecoh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan bernilai RM500,000 oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) untuk Tabung Bencana Negeri Johor di Pusat Khidmat DUN Permas, Taman Bukit Dahlia di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga merupakan Pengerusi Kejora menyampaikan sumbangan berkenaan kepada Hasni di Pejabat Menteri Besar Johor, Kota Iskandar, Iskandar Puteri.

Pada 12 Julai lalu, Che Zakaria mendakwa sekurang-kurangnya empat ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor jika kepimpinan di peringkat Pusat bertukar.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pihaknya akan mengusulkan agar masalah rakyat di daerah ini diberi perhatian antaranya banjir kilat, masalah parit tersumbat dan isu berkaitan Covid-19.

Dalam pada itu, ujarnya, Kejora memperuntukkan sebanyak RM1.38 juta untuk melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan memerlukan di negeri ini.

“Sumbangan RM500,000 ini merupakan sumbangan CSR terbaharu oleh Kejora, sebelum ini kami sudah menyampaikan sebanyak RM889,150 menerusi 13 inisiatif program dan ‘outreach’ vaksinasi Covid-19 dalam wilayah Kejora melibatkan 8,168 penerima,” katanya.

Katanya, Kejora pada masa sama akan turut membantu membaiki sebahagian daripada 291 rumah di enam kampung dan sebuah taman di Tanjung Sedili, Kota Tinggi yang rosak dipukul ribut Jumaat lalu.

“Kejora sedang menilai dan mengenal pasti kerosakan rumah penduduk kerana kerugian yang dialami mereka tidak sama. Kami juga bertindak segera membantu memotong pokok-pokok yang tumbang dan menghempap rumah semasa kejadian ribut itu,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN