KANGAR : Polis negeri mengesahkan tiada laporan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan semasa solat sunat Aidiladha yang dilakukan di tanah lapang masjid, seluruh negeri ini, kelmarin.
Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, pemantauan yang dibuat mendapati semua jemaah yang hadir mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
“Pemantauan yang kami lakukan semasa solat sunat Aidiladha mendapati tiada pelanggaran SOP dalam kalangan jemaah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu status di Facebook yang mempertikaikan kebenaran melaksanakan solat sunat tersebut di negeri ini.
Sebuah akaun Facebook berbahasa Cina yang namanya bermadsud ’Tajuk Utama Hari Ini’ telah memuat naik gambar-gambar penduduk negeri ini yang menunaikan solat sunat Aidiladha dari dalam akaun Facebook lain dengan kapsyen yang mengguris perasaan ramai warganet.
Ruangan komen di akaun tersebut juga menimbulkan perbalahan dengan ada yang mengecam kerana menunaikan solat semasa negara berdepan pelbagai varian baharu Covid-19 dan ada juga yang mengatakan tiada masalah kerana jemaah yang hadir mematuhi SOP selain negeri ini sudah masuk ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Dalam pada itu, Surina berkata, pihaknya masih belum menerima laporan mengenai tindakan pemilik akaun Facebook tersebut.
“Kita tidak dapat laporan lagi, jadi, tiada siasatan yang dijalankan. Bagaimanapun tidak ada pelanggaran SOP yang berlaku semasa solat sunat Aidiladha,” katanya. -UTUSAN ONLINE










