GEORGETOWN: Polis menegaskan tidak ada pelanggaran protokol dalam penahanan reman terhadap mereka yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menunaikan solat Aidiladha di Taman Pelangi, Juru, dekat sini baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, penahanan reman dan proses membawa mereka ke mahkamah juga adalah prosedur normal pihak polis.
“Semua pernah ke mahkamah banyak kali, ia adalah prosedur normal, tidak ada pelanggaran protokol di situ,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Shuhaily menerima sumbangan bakul makanan daripada Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam Pulau Pinang (CCPSS) untuk diedarkan kepada golongan memerlukan di sekitar Pulau Pinang.
Sebelum ini, tular dalam media sosial rakaman video orang awam yang memaparkan ratusan individu yang didakwa warga asing sedang menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang berdekatan pangsapuri di Taman Pelangi, Juru di sini kira-kira pukul 8.30 pagi.
Mereka bertindak demikian selepas surau di taman berkenaan sudah mencapai kapasiti jemaah dibenarkan untuk solat Aidiladha iaitu seramai 100 orang seperti ditetapkan menerusi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Bagaimanapun, penahanan reman terhadap mereka yang terlibat menimbulkan rasa kurang senang orang ramai selepas mereka dibawa ke mahkamah dengan tidak memakai kasut dan digari.
Mengulas lanjut Mohd. Shuhaily berkata, polis telah menyelesaikan siasatan kes berhubung kes pelanggaran SOP di Taman Pelangi itu dengan menahan 84 orang berusia 25 hingga 61 tahun terdiri daripada 83 warga asing dan seorang lelaki tempatan.
“Kertas siasatan berhubung kejadian itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan lanjut.
“Kesemua yang ditahan telah diberikan jaminan dan sedang menunggu keputusan daripada DPP,” katanya.
Dalam perkembangan lain Mohd. Shuhaily berkata, polis juga telah menahan 14 orang berhubung kes sekumpulan individu yang mengadakan upacara keagamaan di Bayan Lepas bagi menghormati kematian seorang ahli keluarga.
“Menerusi siasatan kejadian berlaku empat hari lalu dan polis telah menyiasat 24 orang berhubung kes ini.
“Seramai 14 telah ditahan dan mereka terdiri daripada enam lelaki dan lapan wanita berusia 25 hingga 40 tahun,” katanya.
Sebelum ini, video yang memaparkan lebih 10 individu termasuk kanak-kanak mengadakan upacara keagamaan dipercayai bagi menghormati kematian seorang ahli keluarga mereka tular dalam media sosial sejak kelmarin.
Lokasi kejadian dikatakan berlaku di kawasan perumahan teres berdekatan persimpangan lampu isyarat di Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas beberapa hari lalu. -UTUSAN ONLINE