'Terlalu banyak kilang, premis langgar arahan kerajaan, SOP' - TPM - Utusan Malaysia

‘Terlalu banyak kilang, premis langgar arahan kerajaan, SOP’ – TPM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Kerajaan mempertingkatkan penguat kuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) yang  diwartakan.

Buktinya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejumlah 49 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Kata beliau, ia hasil pemeriksaan Pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang  melaksanakan 80,868 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara semalam dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,168 orang. 

“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,905 buah kilang, 14,249 premis perniagaan, 742 tapak pembinaan dan 270 buah asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, seramai 337 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dengan 332 daripadanya dikompaun dan lima direman. 

Beliau berkata, sejumlah lima pendatang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditangkap dan tujuh kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng.

“Semalam, seramai 735 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara. 

“Untuk rekod, sejak 24 Julai 2020, seramai 253,037 individu pulang ke tanah air dan daripada jumlah itu, seramai 9,189 individu dikuarantin dan 240,402 orang dibenarkan pulang manakala 3,446 lagi dibawa ke hospital,” katanya. 

Menurut beliau, Kementerian  Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut membuat 733 pemantauan harian ke atas 11 jenis  bekalan barangan terdiri daripada peruncit (545), pemborong (158) dan  pengilang (30) termasuk  melakukan 2,180 pemeriksaan khas.

Daripada  jumlah itu, katanya, 2,171 premis mematuhi SOP manakala sembilan lagi  dikompaun.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN