Tanam tebu depan rumah isi masa tiga bulan 'bercuti' - Utusan Malaysia

Tanam tebu depan rumah isi masa tiga bulan ‘bercuti’

ANUAR Mohd (kiri) menyatakan sesuatu kepada Sabarudin Burahan di Taman Kota Masai, Pasir Gudang di Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Berpegang kata pepatah ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’, seorang pekerja pelantar minyak di Nigeria mencari alternatif lain untuk menambah pendapatan ketika tidak dipanggil bekerja sejak tiga bulan lalu.

Anuar Mohd, 44, yang bertugas sebagai operator kren dengan sebuah syarikat di negara itu tidak mahu terus berpeluk tubuh, sebaliknya melihat sebidang tanah di hadapan rumahnya sebagai peluang untuk melakukan sesuatu.

Justeru, idea ketika melayari video mengenai proses menanam tebu yang dilihatnya ketika sedang berehat di pelantar minyak beberapa ketika dahulu diterjemahkan sebaiknya setelah dia pulang ke tanah air, sekitar Februari lalu.

“Saya sampai di Malaysia sebelum Hari Raya Aidilfitri lagi, tetapi sehingga sekarang belum dapat panggilan daripada majikan untuk kembali bekerja semula di Nigeria.

“Jadi bagi menampung perbelanjaan keluarga, saya menanam tebu di kawasan lapang hadapan rumah di samping menjual makanan juga di depan rumah kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di Taman Kota Masai, semalam.

Kata bapa kepada tiga cahaya mata itu, usaha memulakan tanaman tebu itu sebenarnya bermula pada November tahun lalu secara kecil-kecilan ketika balik bercuti sementara sebelum dipanggil bekerja semula tidak lama selepas itu.

Kemudian, Anuar yang kembali semula ke Nigeria untuk bertugas terpaksa menyerahkan kerja-kerja penanaman tebu yang baru diusahakan kepada isterinya, Nurul Nadirah Abdullah, 42, serta anak-anak.

“Berikutan pandemik Covid-19 melanda, saya kembali semula ke Malaysia hingga kini yang secara tidak langsung menyambung semula tugasan sebagai pekebun secara serius selepas belum ada apa-apa panggilan daripada majikan.

“Kini ‘ladang’ tebu yang diusahakan di tanah kosong ini mempunyai kira-kira 600 batang dengan keluasan satu ekar setengah merangkumi tebu jenis telor, hitam kapur, buluh dan ragnar,” katanya.

Setelah enam bulan, pokok tebunya sudah mula mendatangkan hasil dan dia juga telah membuat jus tebu yang dibotolkan untuk jualan kepada orang ramai.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan dapat benarkan saya terus tanam tebu di tanah ini buat masa ini yang dahulunya merupakan semak samun yang terbiar.  Saya turut berharap mendapat bantuan dari Jabatan Pertanian dan  Peladang bagi mengusahakan tanaman ini dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Sabarudin Burahan yang melawat ladang tebu itu, memuji kewibawaan Anuar mengusahakan tanaman berkenaan yang dahulunya hanya kawasan terbiar.

Menurutnya, walaupun tanah itu adalah rizab kerajaan, Anuar berharap kawasan itu dapat dijadikan sumber rezeki kepada penduduk yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dengan mengusahakan pelbagai tanaman.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat menjana pendapatan dengan hasil jualan air tebu dan sebagainya,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN