MELAKA: Di kala persoalan berkenaan faedah tambahan oleh pihak bank berikutan pemberian moratorium automatik selama enam bulan hangat dibincangkan masyarakat, syarikat-syarikat kredit pula terus membisu daripada menawarkan talian hayat kepada peminjam.
Hakikatnya, rakyat daripada kelompok miskin tegar dan B40 lebih banyak berhutang dengan syarikat kredit berbanding bank, contohnya untuk membeli motosikal dan kelengkapan rumah.
Ini kerana, untuk memiliki sebuah kereta baharu jenis Perodua Axia varian terendah yang berharga kira-kira RM24,578, ia memerlukan gaji minimum RM1,600 bagi melayakkan seseorang itu memohon pinjaman bank.
Penetapan gaji minimum terkini oleh kerajaan pula hanyalah pada kadar RM1,200 dan situasi itu membuktikan rakyat marhaen di negara ini terpaksa meminjam dengan syarikat kredit, walaupun semata-semata untuk memiliki seunit telefon pintar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dan hal ehwal semasa, Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berpendapat, kerajaan perlu memberikan tekanan sewajarnya kepada syarikat kredit supaya menawarkan moratorium sama seperti bank.
Beliau berkata, halangan perundangan yang berbeza antara kedua-dua institusi bukanlah masalah, memandangkan negara kini berada dalam Proklamasi Darurat.
“Tekanan yang dihadapi orang ramai sekarang adalah lebih hebat daripada apa yang mereka lalui ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu. Kalau dahulu mereka masih ada tabungan, mungkin sekarang sudah kering-kontang.
“Saya berpendapat pemberian moratorium perlu diperluas kepada syarikat kredit kerana pinjaman seumpama ini banyak membabitkan golongan B40. Ini penting agar tiada yang tercicir mendapat manfaat daripada matlamat untuk membantu mereka yang dalam kesusahan,” katanya ketika dihubungi.
Melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Isnin lalu, moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dalam kalangan B40, M40 atau T20 dan usahawan mikro, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menjelaskan, meskipun syarikat kredit tidak dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kerana berada di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, kerajaan boleh menggunakan kuasanya membuat ordinan bagi tujuan tersebut demi menjaga kesejahteraan rakyat khususnya kumpulan B40.
Beliau berkata, sudah tiba masanya syarikat kredit dikawal menggunakan Akta Perkhidmatan Kewangan bagi menjamin operasi yang lebih terkawal.
“Untuk institusi selain perbankan, kerajaan dalam tempoh darurat mempunyai kuasa untuk membuat ordinan bagi tujuan tersebut demi menjaga kesejahteraan rakyat khususnya golongan B40.
“Saya juga mempersoalkan perubahan nama pemberi pinjaman wang kepada syarikat kredit komuniti kerana ini antara agenda normalisasi yang akan menyebabkan masyarakat berasa lazim untuk meminjam wang,” katanya. -UTUSAN ONLINE