Sultan Sharafuddin zahir kesedihan Covid-19 terus mengganas walaupun rakyat sudah patuh SOP - Utusan Malaysia

Sultan Sharafuddin zahir kesedihan Covid-19 terus mengganas walaupun rakyat sudah patuh SOP

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH - FB Selangor Royal Office
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah, peranan masjid dan surau terus dihadkan di seluruh negeri ini berikutan penularan wabak pandemik yang semakin meningkat.

Baginda bagaimanapun menzahirkan rasa dukacita dengan keputusan itu apabila memberitahu masjid di Selangor tidak pernah ditutup dan bukan sesuatu yang mudah untuk mengehadkan kehadiran jemaah untuk menunaikan solat fardu dan Solat Jumaat.

Istana Alam Shah, dalam satu kenyataan semalam memberitahu, Sultan Sharafuddin berasa kesal kerana meskipun pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dikawal dan diperketat di masjid-masjid, namun penularan wabak berbahaya ini terus mengganas.

Keputusan ini diambil setelah meneliti dan memantau dengan terperinci data dan statistik penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di Selangor. 

“Sehingga 9 Julai, Selangor telah merekodkan sejumlah 1,933 kematian (28 kematian pada 9 Julai 2021 sahaja), dengan 4,400 kes jangkitan harian baharu.

“Apa yang lebih membimbangkan Baginda, pada akhir Jun, data menunjukkan kematian di kalangan bangsa Melayu di Negeri Selangor mencecah 855 orang, iaitu lebih daripada separuh jumlah 1,571 kematian,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, baginda tidak sanggup lagi untuk melihat visual memilukan yang memaparkan kesedihan waris keluarga kerana tidak berkesempatan menziarah di hospital dan menghantar jenazah ke tanah perkuburan.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menjelaskan, setiap negeri kesan daripada penularan wabak Covid-19 adalah berbeza bagi setiap negeri, justeru perbandingan tidak boleh dibuat secara kasar.

Walau bagaimanapun, baginda berharap dapat kembali membuka masjid dan surau seperti biasa jika jumlah kes jangkitan baharu terus menurun dan peratusan pemberian vaksin berbanding populasi terus meningkat.

Insya-Allah, masjid dan surau akan kembali dibuka seperti biasa. Sehingga itu terjadi, baginda mahu seluruh umat Islam di Selangor terus menunaikan solat di rumah serta tidak putus berdoa kepada Allah SWT agar menghapuskan wabak berbahaya ini,” ujarnya.

Kelmarin, Selangor mencatatkan kes jangkitan baharu sebanyak 4,277 kes yang menyumbang sebanyak 46 peratus kepada rekod harian Covid-19 seluruh negara dengan jumlah kematian di negeri itu sebanyak 50 orang. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN