SPRM junjung kasih penghargaan Sultan Selangor - Utusan Malaysia

SPRM junjung kasih penghargaan Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan penghargaan baginda kepada suruhan jaya itu dalam melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di negeri berkenaan dapat dibanteras.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, titah baginda itu melambangkan keprihatinan dan ketegasan baginda terhadap pembabitan beberapa pegawai kerajaan di negeri itu yang terlibat dengan kegiatan rasuah sekali gus boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan di negeri Selangor.

“Saya juga sangat mengalu-alukan dan menyanjung tinggi pendirian Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan terhadap SPRM dalam menjalankan tugas untuk melaksanakan penyiasatan telus dengan bukti-bukti kukuh bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tersebut tidak terlepas daripada menerima hukuman sewajarnya.

“Justeru, SPRM turut menyeru orang ramai termasuk rakyat negeri Selangor agar mengambil perhatian khusus terhadap titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan supaya perkara sama tidak berulang pada masa akan datang sekali gus menjadikan Malaysia bebas rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita apabila terdapat beberapa pegawai kerajaan di negeri tersebut terlibat dengan kegiatan rasuah.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi kenyataan memaklumkan, baginda menegaskan bahawa pegawai kerajaan negeri yang didapati bersalah terbabit dalam aktiviti rasuah atau pecah amanah perlu dikenakan tindakan tatatertib serta hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan.

“Mana-mana pegawai kerajaan dan ahli politik yang dikurniakan darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri Selangor dan didapati melakukan kesalahan rasuah, maka kurniaan itu akan ditarik balik,” katanya.

Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor turut menzahirkan penghargaan baginda kepada SPRM yang sudah melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di negeri ini dapat dibanteras.

Sultan Selangor juga mengingatkan bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini adalah satu gejala yang boleh merosakkan masyarakat serta menjatuhkan negara.

Pada 24 Julai lalu, seorang Pegawai Daerah (DO) bersama seorang juruukur bahan ditahan SPRM susulan penahanan tiga individu termasuk dua bekas Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran kerana dipercayai bersekongkol bersama syarikat kontraktor yang merupakan sindiket kartel projek bagi membolot projek-projek bernilai puluhan juta ringgit di sekurang-kurangnya empat daerah di Selangor sejak 2012 lagi.

Dalam tempoh empat tahun di sebuah daerah sahaja, kontraktor terlibat boleh memperoleh pelbagai projek bernilai anggaran RM20 juta.

Difahamkan, terdapat kira-kira 70 syarikat yang digunakan untuk membolot projek-projek tersebut termasuk kira-kira 16 syarikat milik keluarga mereka dan selebihnya merupakan kroni atau proksi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN