Sistem e-Tanah diperluaskan, kurangkan kerenah birokrasi - PM - Utusan Malaysia

Sistem e-Tanah diperluaskan, kurangkan kerenah birokrasi – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sistem pentadbiran tanah secara elektronik,  e-Tanah diperluaskan ke semua negeri-negeri lain selepas kejayaan pelaksanaannya di  Kuala Lumpur dan Perak sebagai inisiatif pemodenan perkhidmatan pentadbiran tanah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif Kerjasama Awam Swasta (PPP) itu akan dibangunkan di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah, Perlis dan Kelantan dan dijangka selesai serta boleh diguna pakai sepenuhnya selewat-lewatnya 2024.

Menurut beliau, sistem e-Tanah dimulakan secara perintis di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak tahun 2017 selepas Kerajaan Persekutuan bersetuju melaksanakan Sistem e-Tanah menerusi PPP pada 2014. 

“Semenjak inisiatif pemodenan perkhidmatan pentadbiran tanah dijalankan seawal tahun 1980, pentadbiran tanah terus diperkemas dan dipermodenkan seiring perkembangan teknologi terkini. 

“Inisiatif yang melibatkan kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan syarikat swasta ini, bertujuan menyeragamkan pentadbiran tanah di negeri-negeri berdasarkan perundangan yang berkuat kuasa, mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ‘Pelancaran Peluasan Sistem e-Tanah Secara Kerjasama Awam Swasta’ bersempena Hari Tanah Negara Tahun 2021 bertemakan ‘Mendepani Cabaran Pasca Covid-19 dalam Pentadbiran Tanah’, secara maya hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau percaya, pelaksanaan Sistem e-Tanah juga dapat menyumbang kepada kepesatan pembangunan negara di samping meningkatkan hasil kepada kerajaan-kerajaan negeri khususnya. 

Beliau menjelaskan, sepanjang pelaksanaannya secara perintis di Kuala Lumpur, sistem berkenaan berjaya meningkatkan kualiti dan kecekapan pentadbiran tanah di  wilayah itu.

Apatah lagi, kata beliau, semasa peringkat awal pandemik Covid-19 melanda negara pada tahun lalu,  sistem e-Tanah berkaitan pelbagai urusan berkaitan tanah seperti carian persendirian, pembayaran cukai, permohonan pindah milik dan permohonan gadaian tanah dapat diteruskan secara atas talian dengan cekap dan selamat. 

“Berdasarkan kejayaan tersebut, Sistem e-Tanah secara PPP ini diperluaskan pula ke  Perak dan mula diguna pakai pada Februari lalu sekali gus menunjukkan prestasi cemerlang dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerajaan negeri untuk pelaksanaan urusan pentadbiran tanah,” katanya. 

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan, di peringkat Kerajaan Persekutuan, dasar dan perundangan tanah semasa sentiasa diteliti dan dikemas kini supaya selaras dengan peredaran masa dan keperluan pelanggan khususnya rakyat. 

Melalui Mesyuarat Majlis Tanah Negara, katanya, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berbincang hal-hal berkaitan dasar negara bagi mengurus, memaju dan mengawal selia penggunaan tanah di peringkat masing-masing untuk maksud perlombongan, pertanian dan perhutanan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN