KUALA LUMPUR: Apa yang akan berlaku dalam sidang khas Parlimen pada Isnin minggu depan tidak jelas kerana Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus menggunakan pelbagai taktik mengekalkan kuasanya walaupun berdepan asakan untuk berundur.
Ahli-ahli Parlimen pembangkang berpandangan, ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana PN akan terus berusaha menangguhkan atau membatalkan sidang Parlimen menyorot pengalaman terdahulu bermula dengan pengisytiharan darurat sehingga Parlimen ditangguh kelmarin atas alasan pandemik Covid-19.
Hal ini berlaku di tengah-tengah kerajaan berdepan krisis politik melibatkan Istana Negara yang amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Sepanggar (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman menjangkakan sidang Parlimen yang menyentuh status pembatalan enam Ordinan Darurat seperti diperuntukkan dalam Urusan Mesyuarat Mesyuarat Khas pada Isnin depan boleh ditunda.
“Macam di Parlimen kelmarin, tiba-tiba sahaja semua ahli Parlimen pembangkang diarah menjalankan ujian saringan Covid-19 kononnya ada kes jangkitan dikesan sehingga sidang terpaksa ditangguh.
“Sebaliknya, semua menteri yang menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di rumah beliau. Persoalannya, adakah mereka juga menjalankan ujian saringan? Mereka sudah melanggar SOP (prosedur operasi standard) kerana mengadakan aktiviti berkumpul, mesyuarat dan berkunjung.
“Ini jelas kerajaan cuba elak seboleh mungkin kerana keabsahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah diragui lebih awal. Kita kena adil. Saya gesa pihak polis untuk kompaun mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.
Senada dengan beliau, Ahli Parlimen Bagan (DAP), Lim Guan Eng berkata, Parlimen diharap bersidang seperti biasa dan tidak menggunakan wabak Covid-19 sebagai alasan untuk memenangkan pihak kerajaan.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, sebarang pertikaian antara kerajaan dengan Istana Negara mesti merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan kerana Yang di-Pertuan Agong tidak semudah mengeluarkan pandangan tanpa merujuk kepada pakar perundangan negara.
“Isu penting sekarang mengapa kerajaan bertindak mengelirukan Dewan Rakyat? Kenapa tidak hormat kepada Istana Negara dan membelakangkan janjinya? Tiada seorang pemimpin negara yang pernah berbohong dengan Seri Paduka.
“Kerajaan sudah terlanjur dengan kenyataan dibuat mereka. Ini kali pertama saya lihat perdana menteri membuat kenyataan terbuka seakan-akan melawan titah Seri Paduka,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam (Amanah), Khalid Abdul Samad pula berkata, kerajaan sepatutnya mengakui kegagalan dalam mengurus negara akibat tindakan mereka merampas kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) sejak Langkah Sheraton tahun lalu.
“Inilah bala yang menimpa kerajaan apabila tindakan berasaskan pengkhianatan dan sogokan rasuah kerana tanpa segan silu menawarkan jawatan dan imbuhan.
“Saya susah nak ramal apa lagi kerana tiada seorang pun dari pihak mereka yang menghormati Seri Paduka, Parlimen dan Perlembagaan. Yang terbaik adalah letak jawatan serta-merta,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan sedangkan ia belum mendapat perkenan dari Seri Paduka.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pula mempertahan tindakan membatalkan Ordinan Darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dijadualkan memberi penerangan berkenaan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat di Parlimen namun pembangkang merasakan ia membuang masa dan menjadi perbincangan akademik. -UTUSAN ONLINE