PUTRAJAYA : Pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang kedai buku, koperasi, kedai dobi dan mesin layan diri di sekolah akan diberikan kepada pengusaha terjejas selama enam bulan mulai bulan ini sehingga Disember depan.
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha kantin serta terbabit yang terjejas akibat penutupan institusi bawah KPM berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
KPM berkata, pihaknya juga akan memberi penyambungan kontrak secara automatik untuk tempoh satu tahun apabila tamat tempoh kontrak asal.
“Sambungan kontrak ini akan diberikan kepada sewaan kantin dan premis atau ruang kedai buku, koperasi, kedai dobi dan mesin layan diri di sekolah bawah KPM tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, KPM berkata, bagi perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK), pembayaran kepada kontraktor akan dibuat sepenuhnya sebagaimana yang dinyatakan dalam kontrak.
“Oleh itu, tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja KBK,” katanya.
Bagi perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB) pula, KPM berkata, kontrak perkhidmatan akan dilanjutkan kepada kontraktor terlibat dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP.
“KPM yakin inisiatif ini dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi bawah KPM serta pekerja terlibat yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE