Servis cuci kereta dibenarkan di negeri fasa dua PPN - Utusan Malaysia

Servis cuci kereta dibenarkan di negeri fasa dua PPN

Perkhidmatan cuci kenderaan berlesen dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dibenarkan beroperasi di negeri-negeri yang berada dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perkhidmatan cuci kenderaan yang berlesen dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah dibenarkan beroperasi di negeri-negeri yang berada dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Teknikal Covid-19 yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Jun lalu.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan memaklumkan, kebenaran itu termasuk pembersihan manual, separa automatik dan automatik.

“Bagi perkhidmatan cuci kenderaan, kerja-kerja pembersihan yang dibenarkan adalah meliputi bahagian luaran kenderaan, enjin kereta, dalaman kereta, polish, wax serta pengewapan antibakteria dan pembasmian serangga ruangan dalam kenderaan,” katanya di sini hari ini.

KPKT berkata, aktiviti pasar pagi dan pasar tani juga turut dibenarkan beroperasi dalam tempoh fasa dua PPN bermula dari 7 pagi hingga 11 pagi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat meliputi bilangan pengunjung dan penjarakan minimum dua meter.

Katanya, enam komoditi utama sahaja iaitu ikan, daging, ayam, telur, sayuran dan buah-buahan sahaja dibenarkan untuk dijual.

“Bagi pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu, ia masih tidak dibenarkan dibuka.

Sementara itu, KPKT memaklumkan bahawa perkhidmatan-perkhidmatan tersebut tidak perlu mendapatkan kebenaran beroperasi melalui sistem CIMS yang diselenggara oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Sebaliknya memadai dengan hanya menunjukkan lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh pihak PBT.

“Sekiranya lokasi perniagaan mereka melibatkan pergerakan merentas daerah atau negeri, mereka perlu mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia dengan mengemukakan lesen perniagaan atau permit penjaja oleh PBT berkaitan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, orang ramai diminta untuk merujuk laman sesawang rasmi KPKT di https://www.kpkt.gov.my bagi memuat turun SOP Perkhidmatan Cuci Kenderaan dan SOP Pasar Pagi dan Pasar Tani. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN