Separuh Kelantan terputus bekalan air bersih - Utusan Malaysia

Separuh Kelantan terputus bekalan air bersih

ISMAIL menunjukkan enjin pam air yang dipasang di rumahnya di Machang bagi menarik air masuk ke tangki rumah, namun tetap gagal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lima jajahan atau separuh daripada negeri ini yang membabitkan kira-kira 200,000 penduduk berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlarutan hingga lima hari sejak Khamis lalu.

Gangguan demi gangguan dalam tempoh 24 hingga 72 jam itu disifatkan sebagai ‘menyeksakan’, lebih-lebih lagi kepada pengguna di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Paling kritikal di Tumpat apabila 15,334 akaun di situ terjejas sejak Sabtu lalu, ekoran kerja-kerja kecemasan penyelenggaraan telaga tiub di Loji Rawatan Air (LRA) Wakaf Bharu yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan.

Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) mengeluarkan hebahan gangguan sama di Pasir Puteh, Machang, Kota Bharu Selatan dan Pasir Mas sejak Khamis lalu membabitkan kira-kira 17,000 akaun pengguna.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengguna dari Taman Sri Machang, Ismail Awang, 61, berkata, isu air bukan perkara baharu, malah dia sudah lali ‘menghadap’ perkara sama berulang kali selepas berpindah ke kawasan perumahan itu sejak 1990.

Katanya, diia hilang sabar apabila masalah air semakin menjadi-jadi ketika keluarganya turut terbeban dengan kekangan pergerakan akibat PKP berpanjangan selama hampir empat bulan di Kelantan.

“Taman Sri Machang terletak di atas bukit, kos untuk buat air boring mahal sampai ribuan ringgit, itu pun belum tentu berhasil. Mahu tidak mahu, keluarga saya jadi pengguna ‘setia’ AKSB sejak 30 tahun lalu.

“Dalam keadaan PKP, kami sukar ke mana-mana untuk dapatkan bekalan air bersih. Apabila sudah kerap sangat tiada air, kesabaran semakin menipis. Petugas di pejabat AKSB Machang pun saya rasa sudah lali dimaki kami,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kakitangan swasta, Mohd. Syahmi Amar Ismail, 34, yang terkesan akibat PKP dan kini berniaga minuman kopi dalam talian di sekitar Machang pula mendakwa, gangguan bekalan air yang kerap bukan sahaja menyukarkan kehidupan keluarga malah menjejaskan perniagaannya.

“Sebelah kawasan perumahan saya ini ada tangki besar milik AKSB, yang peliknya air selalu tidak ada. Kalau ada pun, sekejap-sekejap dalam beberapa jam sahaja. Kami tidak tahu ke mana AKSB salurkan air yang ada dalam tangki sebesar itu,” katanya.

Sementara itu, semakan di Air Kelantan Official mendapati ruang komen akaun Facebook rasmi AKSB dipenuhi kecaman dengan rata-rata pengguna meluahkan hidup terseksa berdepan total lockdown dan gangguan bekalan air serentak.

Antaranya, pengguna dari Pasir Mas, Fauziah Anoorden yang menyifatkan notis hebahan kerja-kerja penyelenggaraan oleh AKSB tidak logik dan mungkin dibuat tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat.

“Notis pertama (Jumaat) maklumkan masalah hingga Isnin (26 Julai). Hari Isnin, notis kedua pula keluar maklumkan gangguan hingga Khamis (29 Julai). Cukup ke air kalau setiap rumah simpan air satu tangki sejak Jumaat nak guna hingga Khamis,” soalnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×