JERANTUT: Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris mengakui beliau menandatangani akuan bersumpah (SD) yang menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang baharu.
SD berkenaan adalah yang kedua ditandatanganinya selepas yang pertama kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien sebagai sokongan kepadanya untuk diangkat sebagai Perdana Menteri Interim jika Majlis Raja-Raja Melayu menubuhkan kerajaan interim.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahmad Nazlan berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), beliau melihat kerajaan yang ada adalah ‘Kerajaan Percubaan’ bagi mencari kerajaan yang terbaik sebagai pengganti Barisan Nasional (BN).
Jelasnya, selepas BN tumbang, ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sempat memerintah 22 bulan sebelum ditukar kepada kerajaan di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).
“PH terbukti gagal, selepas itu PN yang pada pandangan saya, walaupun tidak gagal tapi belum berjaya membantu rakyat, jadi kenapa tidak kita cuba pula kerajaan baharu yang ketiga demi mencari kerajaan terbaik menggantikan BN.
“Jadi, apabila ada idea mencadangkan Anwar sebagai Perdana Menteri, saya bersetuju. Masih ada dua tahun ketika ini yang boleh kita cuba, kita dah merasai 22 bulan di bawah PH, berbelas bulan dengan PN dan kita rasa pulalah kerajaan baharu, mungkin kerajaan baharu itu nanti lebih berwajah baru,” katanya di sini semalam.
Ditanya jumlah wakil rakyat yang menandatangani SD sokongan kepada Anwar, Ahmad Nazlan berkata, beliau tidak pasti.
“Saya apabila diminta membuat pilihan dan pertimbangan, pada saya tidak salah kerana kerajaan hari ini belum berjaya pada hemat saya, jadi baik kita beri peluang kepada kerajaan baharu,” katanya.
Jelasnya, beliau tidak diarahkan oleh mana-mana pihak untuk memberikan sokongan kepada Anwar tetapi keputusannya sendiri. – UTUSAN ONLINE










