Sekolah Perlis patut dibuka semula - Utusan Malaysia

Sekolah Perlis patut dibuka semula

MOHAMAD ASRI SHAFII
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Dua persatuan ibu bapa dan guru sekolah-sekolah di Perlis memohon kerajaan memberi kelonggaran supaya sesi persekolahan bersemuka di negeri ini dibuka sepenuhnya selepas melihat perkembangan kes Covid-19 di negeri ini yang terus menunjukkan penurunan sehingga sifar kes.

Paling tidak, kebenaran perlu diberikan kepada semua pelajar tingkatan lima dan enam yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di negeri ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen, Mohamad Asri Shafii berkata, tidak adil bagi Perlis yang menunjukkan penurunan kes Covid-19 secara konsisten dengan beberapa hari terakhir ini merekodkan sifar kes dikenakan sekatan pergerakan sama dengan negeri lain yang jumlah kes lebih tinggi.

Katanya, pembukaan sekolah itu boleh diselarikan dengan perincian prosedur operasi standard (SOP) baharu selain mengekalkan SOP sedia ada bagi mengelak penularan wabak Covid-19 di sekolah.

Jelasnya, pembukaan sekolah sekiranya ingin diseragamkan di seluruh negara meskipun jumlah kes Covid-19 di Perlis terus menunjukkan penurunan disifatkan sebagai tidak wajar.

“Tidak adil kalau Perlis terpaksa mengikut negeri lain (pembukaan sekolah) yang jumlah kesnya merekodkan 1,000 kes ke atas sedangkan Perlis paling tinggi hanya sekitar empat atau lima dan diselang seli dengan sifar kes.

“Perlis perlu diberikan kelonggaran untuk terlebih dahulu buka sekolah. Paling kurang benarkan dahulu pelajar tingkatan lima dan enam memasuki persekolahan dahulu seterusnya diperluas kepada pelajar-pelajar lain.

“Sekurang-kurangnya ia boleh memberi motivasi kepada negeri-negeri lain untuk terus mematuhi SOP seterusnya merekodkan penurunan kes dan sekolah kembali dibuka,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini, Perlis juga mempunyai pengalaman mengendalikan sesi persekolahan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SMK Arau, Khalid Ahmad berkata, ramai dalam kalangan pelajar khususnya di kawasan luar bandar ketinggalan mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR).

KHALID AHMAD

Sehubungan itu, Khalid berharap kerajaan dapat mempertimbang kebenaran pembukaan sekolah di Perlis selepas melihat perkembangan kes Covid-19 di negeri ini yang terus menunjukkan penurunan.

“Belajar secara bersemuka tidak sama dengan pembelajaran secara maya. Ramai yang menghadapi kekangan daripada aspek capaian internet dan peranti, malah mereka yang adik beradik ramai pula terpaksa berkongsi tablet untuk proses PdPR. Jadi sudah masanya sekolah kembali dibuka khususnya di negeri ini,” katanya yang juga bekas Ahli Dewan Negara. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN