Segera hantar bekalan vaksin ke Sabah - Utusan Malaysia

Segera hantar bekalan vaksin ke Sabah

-Bung Moktar menandatangani LCD sebagai simbolik perasmian bilik mesyuarat di bangunan Kementerian Kerja Raya, Sabah semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) diminta agar menyegerakan penghantaran bekalan vaksin ke Sabah.

Jika dilihat data JKJAV, penerima vaksin lengkap di Sabah antara yang terendah di seluruh negara dan keadaan ini amat membimbangkan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, dengan peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah sejak beberapa minggu lalu, proses pemberian vaksin di negeri ini perlu dipercepatkan.

Pada masa ini, pelbagai pendekatan diambil oleh kerajaan negeri untuk mempercepatkan proses vaksinasi termasuk membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dan melaksanakan program jerayawara atau outreach vaksinasi Covid-19.

“Langkah ini diambil bagi membolehkan kita mencapai imuniti kelompok dengan segera. Namun, sekiranya bekalan vaksin tidak mencukupi, imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai mengikut sasaran ditetapkan.

“Justeru, Kerajaan Pusat melalui JKJAV perlu segera menghantar bekalan vaksin ke Sabah bagi mengurangkan jurang antara negeri-negeri dalam proses vaksinasi ini,” katanya selepas merasmikan bilik mesyuarat Kementerian Kerja Raya semalam.

Menteri Kerja Raya ini berkata, pemberian vaksin tidak boleh dilengahkan kerana negara sedang diancam vvirus Covid-19 yang lebih bahaya berikutan penemuan varian baharu yang lebih mudah menular.

Maka, usaha mencapai imuniti kelompok perlu disegerakan untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan ini menyarankan agar inisiatif lain turut diambil bagi menggalakkan pendaftaran vaksin susulan kaedah pendaftaran melalui MySejahtera tidak begitu efektif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag ini berkata, pendekatan ‘walk-in’ wajar dipertimbangkan kepada rakyat Sabah yang belum menerima janji temu khususnya di kawasan luar bandar.

Tambah beliau, usaha sebegitu amat perlu kerana kebanyakan penduduk di kawasan luar bandar tidak mempunyai akses internet yang baik.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN