KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyasarkan untuk mencapai kira-kira 60 peratus penduduk menerima vaksinasi menjelang Oktober ini.
Langkah itu bagi membolehkan lebih banyak sektor perniagaan dan perkhidmatan dibuka semula termasuk pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Berikutan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menggesa agar kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan bekalan 600,000 dos vaksin pada bulan ini dan 1.2 juta dos pada bulan hadapan ke Sabah.
“Kami mahu mengekalkan momentum untuk memastikan penduduk mendapat vaksin secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa kunjungan hormat Jawatankuasa Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sabah yang diketuai oleh Presidennya, Datuk K.L Tan, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, industri pelancongan Sabah pasca Covid-19 akan dipulihkan semula menerusi pembentukan pelan pemulihan pelancongan yang komprehensif.
Tambah beliau, di bawah Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0, kerajaan memperuntukkan RM2.88 juta menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar untuk diagihkan kepada pemandu pelancong, penyelam, malim gunung, porter, pengusaha hotel dan pengendali inap desa yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Hajiji akan bertemu dengan malim gunung untuk memberikan bantuan kepada mereka serta menyaksikan program vaksinasi pelancongan di Kundasang pada Khamis.- UTUSAN ONLINE