KUALA NERUS: Polis merampas 60 kotak rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM120,000 dalam serbuan di dua premis di Kuala Nerus, di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, penemuan itu susulan penahanan dua lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 20-an kira-kira pukul 4.30 pagi hari sama.
Katanya, kedua-dua suspek berkenaan ditahan ketika menaiki kenderaan jenis Honda dan Mitsubishi dalam keadaan mencurigakan di Kubang Parit, Kuala Terengganu manakala pemeriksaan menemukan beberapa kunci yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang.
“Kereta Honda suspek diubahsuai dengan dibuang kerusi pada bahagian penumpang belakang dipercayai untuk melakukan aktiviti bertentangan undang-undang.
“Hasil serbuan di dua premis berbeza di Tok Jembal dan Taman Desa Jaya kita merampas kira-kira 60 kotak yang mengandungi ribuan karton rokok diseludup,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Marzukhi, kedua-dua suspek yang mempunyai rekod lampau direman selama 12 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda minimum tidak kurang 10 kali nilai barangan atau RM100,000 mengikut mana yang lebih tinggi dan denda maksimum tidak lebih 20 kali nilai barangan atau RM500,000, mana lebih tinggi atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.- UTUSAN ONLINE










