Rokok, bedak seludup bernilai RM9.03 juta dirampas - Utusan Malaysia

Rokok, bedak seludup bernilai RM9.03 juta dirampas

ANGGOTA Pasukan Polis Marin menunjukkan bungkusan kotak mengandungi rokok yang dirampas di sebuah gudang di Taman Klang Jaya, Klang Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Rokok dan bedak seludup yang dianggarkan bernilai RM9.03 juta berjaya dirampas menerusi serbuan yang dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) terhadap sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Taman Klang Jaya, di sini.

Dalam serbuan pukul 10.45 pagi Khamis lalu itu, polis menemukan beberapa kotak besar rokok jenama D&J dan Mild yang tidak bercukai, bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan susulan suspek berjaya meloloskan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Komander PPM Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd. Yusoff Mamat berkata, semasa serbuan didapati gudang tersebut bertutup namun tidak berkunci dan hasil pemeriksaan,  sekitar kilang menemui kesan umpil tingkap bilik air dipercayai digunakan sindiket melarikan diri ketika serbuan.

“Berdasarkan pemeriksan terhadap sebuah kontena di gudang itu menemukan 249,500 karton rokok jenama D&J dan Mild (14,400 karton) tidak bercukai.

“Turut ditemukan adalah 249,624 botol bedak jenama Ponds dipercayai tidak mempunyai kelulusan dibawah peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, turut dirampas adalah sebuah kontena dan treler digunakan sindiket tersebut.

Kata Mohd. Yusoff, gudang tersebut dipercayai dijadikan transit sebelum rokok dan barang lain untuk diedarkan. 

“Sindiket dipercayai menyewa gudang dalam jangka masa pendek untuk menjalankan aktiviti pemindahan rokok daripada kontena ke lori,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff menegaskan rokok dan kontena tersebut diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam manakala bedak kepada bahagian farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) Selangor untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya