Rentas negeri rai hari jadi, 6 remaja dikompaun RM30,000 - Utusan Malaysia

Rentas negeri rai hari jadi, 6 remaja dikompaun RM30,000

ARSHAD ABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Enam remaja dikenakan kompaun RM30,000 selepas dikesan merentas negeri dari Gemas, Negeri Sembilan ke Melaka bagi membuat kejutan sempena majlis sambutan hari lahir rakan mereka, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kesemua mereka yang berusia 14 hingga 18 tahun itu dikompaun di sebuah kediaman di Taman Baiduri, Kuala Ina di sini.

“Pada pukul kira-kira 5 petang semalam, kita telah mengesan tujuh remaja terdiri daripada dua lelaki dan lima perempuan duduk berkumpul di hadapan sebuah rumah di Taman Baiduri.

“Hasil pemeriksaan polis, enam daripadanya telah merentas negeri dari Gemas ke Melaka semata-mata bagi membuat kejutan hari jadi rakan mereka yang menetap di situ,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi kesalahan itu, kesemua enam remaja yang telah merentas negeri dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang. 

Tambahnya, siasatan lanjut mendapati, kumpulan remaja itu juga tidak mempunyai sebarang dokumen rentas negeri. 

“Kita bagaimanapun masih mengambil keterangan tuan rumah tersebut iaitu seorang remaja perempuan berusia 17 tahun sebelum mengenakan kompaun maksimum RM4,000 kerana menerima tetamu. 

“Kita dapati beberapa remaja berkenaan juga datang dari kawasan zon merah yang mencatatkan kes tinggi Covid-19,” ujarnya.

Jelasnya lagi, kesemua mereka dikenakan kompaun mengikut Peraturan 4 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN