PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini untuk menyiasat hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.

Menurut beliau, antara terma RCI yang dipersetujui ialah skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit LTH sepanjang tempoh itu tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.
Beliau berkata, selain itu, suruhanjaya itu akan menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan mengelirukan mengenainya.
“Mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung jika mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan pihak-pihak berkuasa berkaitan.
“Langkah ini bertujuan penambahbaikan dan tadbir urus LTH dan mengemukakan kepada kerajaan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan, jika perlu, dalam tempoh tiga bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, Jabatan Perdana Menteri akan mengenal pasti senarai keahlian RCI yang dicadangkan terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.
Beliau menjelaskan, perincian berhubung penubuhan dari segi terma dan rujukan serta keanggotaan RCI akan diumumkan dalam masa terdekat.
Tambah Timbalan Perdana Menteri, penubuhan RCI itu adalah wajar supaya siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan tersebut dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan.
“Ia bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan LTH. Ini juga bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilaksanakan demi memastikan LTH menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam,” katanya. -UTUSAN ONLINE










