TAMPIN: Sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya memutus dan menumpaskan salah satu rangkaian sindiket pengedaran rokok seludup yang tidak bercukai di sekitar daerah ini, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Superintenden Rozasin Ramlan berkata, kira-kira pukul 2.30 petang semalam, pasukannya telah berjaya menahan seorang lelaki berusia 39 tahun di sebuah kebun sawit di Kampung Tengah Gedok, dekat sini.
Lelaki tersebut ketika itu sedang leka memunggah beberapa kotak berwarna coklat daripada sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mazda 5 berwarna putih ke sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Camry juga berwarna putih.
Menurutnya, hasil pemeriksaan telah menjumpai 530 karton rokok seludup pelbagai jenis tanpa cukai Kastam yang sah.
“Siasatan lanjut ke atas lelaki tersebut membawa kepada serbuan kedua di Taman Orkid, Gemencheh dan menjumpai sejumlah 157 karton rokok seludup tanpa cukai Kastam yang sah berserta 17 botol arak disyaki tiruan.
“Dalam tangkapan dan serbuan ini, jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM348,354.48,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Rozasin berkata, tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Tampin untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.
“Pihak PGA menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis bagi mengekang aktiviti penyeludupan rokok seludup tidak bercukai agar dapat dibanteras,” katanya.- UTUSAN ONLINE