Raja Muda Perlis ingatkan jangan terlibat aktiviti penyeludupan - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis ingatkan jangan terlibat aktiviti penyeludupan

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL (kiri) menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada asnaf terpilih dalam kariah Masjid Al- Maghfirah Kampung Pauh Sanglang, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Rakyat negeri ini diingatkan agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti penyeludupan di sempadan negara.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kedudukan geografi negeri ini yang bersempadan dengan Thailand membuatkan masyarakat setempat khususnya terdedah dengan penglibatan aktiviti penyeludupan sama ada manusia mahupun barangan terlarang.

Titah baginda, statistik pihak berkuasa setiap tahun merekodkan jumlah tangkapan dan rampasan yang membimbangkan khususnya melibatkan kes pendatang tanpa izin selain rampasan dadah serta daun ketum.

“Merujuk rekod pihak berkuasa, pengajaran daripada individu-individu yang telah disabit bersalah dan dipenjarakan turut memberi kesan kepada ahli keluarga khususnya daripada segi hilang punca pendapatan, pendidikan dan imej keluarga,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini hari ini.

Sumbangan tersebut disampaikan kepada amil kariah Masjid Al- Maghfirah Kampung Pauh Sanglang, Semsuri Dar yang mewakili 30 asnaf terpilih dalam kalangan kariah masjid tersebut.

Setiap seorang menerima sumbangan RM700 yang membabitkan jumlah keseluruhan RM21,000.

Turut mengiringi baginda ialah Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf, Hartanah dan Mal MAIPs, Mohd Nazri Md Rejab.

Tuanku Syed Faizuddin turut meluangkan masa meninjau sendiri beberapa lorong tikus yang menghubungkan sempadan antara Perlis dan Kedah di pekan Kuala Sanglang di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superitenden Wari Kiew memberitahu, pihaknya sentiasa mengumpul maklumat terhadap individu dan sindiket terlibat.

“Pada November 2020 selepas kejadian tembakan membabitkan anggota penguat kuasa di sempadan negara, 18 individu yang dikenal pasti aktif terlibat dengan aktiviti penyeludupan di negeri ini telah ditangkap dan didakwa.

“Pihak berkuasa terus memantau pergerakan dan aktiviti individu dikenalpasti seterusnya tangkapan dibuat apabila mempunyai bukti mereka terlibat dengan aktiviti penyeludupan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN