PETALING JAYA: Program Bakul Makanan yang diumumkan menerusi Pakej Perlindungan dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sebanyak RM300,000 bagi setiap kawasan Parlimen perlu mengambil kira kepadatan penduduk di satu-satu kawasan.
Ini kerana menurut Ketua Pejuanita (Penaja) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim setiap 222 kawasan Parlimen mempunyai kepadatan penduduk yang berbeza sedangkan jumlah peruntukan yang diberikan adalah sama.
“Jumlah (peruntukan) yang sama bagi setiap kawasan Parlimen memungkinkan hanya peratusan kecil rakyat dapat dibantu di kawasan berpenduduk padat berbanding sesetengah kawasan parlimen yang mempunyai kepadatan penduduk yang lebih rendah,” ujarnya dalam kenyataan hari ini
Kata beliau projek Bakul Makanan telah lama dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seluruh negara.
Kata beliau Menterinya, Datuk Seri Rina Harun sepatutnya membuat postmortem ke atas program agihan bakul makanan ini untuk menjadikan ia lebih menepati sasaran dalam membantu penerima.
Pada masa sama, kata Che Asmah, senarai barangan yang dibekalkan perlu disemak semula bagi membolehkan peruntukan RM100 sekeluarga itu dimaksimumkan penggunaannya.
Menurut beliau, Ahli Parlimen perlu diberi kebebasan untuk menentukan senarai barangan yang hendak dibekalkan dengan mengambil kira keperluan keluarga yang disantuni yang tentunya berbeza di bandar dan luar bandar.
“Daripada senarai yang dikongsi, didapati kos pengendalian kotak, pengangkutan dan pelekat mengambil kos sekitar 20 peratus kos yang diperuntukan.
“Saya percaya kos ini boleh diminimumkan lagi dengan pengurusan yang cekap dan berkesan oleh pejabat-pejabat Ahli Parlimen dan tidak perlu disyaratkan dibekalkan di dalam kotak sebagai prosedur operasi standard (SOP) agihan, “ ujar beliau lagi.
Maka adalah lebih baik jika bantuan tersebut dibuat dalam bentuk pemberian kupon atau baucar makanan untuk penerima membuat pembelian di pasar raya atau kedai berdekatan supaya rakyat dapat membuat perancangan dan pembelian barangan yang diperlukan dengan lebih bijak.
Tambahan pula katanya terdapat keperluan lain yang mendesak seperti susu bayi yang diperlukan keluarga yang tidak masuk dalam senarai.
Penggunaan kupon makanan itu boleh disyaratkan kepada pasar raya atau kedai untuk tidak membekalkan barangan terlarang seperti rokok dan minuman keras.
Ini juga akan menjimatkan kos pengurusan sekitar 20 peratus seperti dalam SOP yang dikeluarkan.
Mekanisma pemantauan dan penilaian projek boleh diguna pakai dalam mengaudit sistem agihan ini di pejabat-pejabat Ahli Parlimen memandangkan setiap pembelian di pasar raya boleh dibuat pengesanan.
Kerajaan perlu lebih proaktif dan memanfaatkan teknologi dan pengalaman pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan badan-badan antarabangsa dalam mengendalikan bantuan kebajikan dan kemanusiaan agar ketirisan dalam agihan bakul makanan dapat dikurangkan.- UTUSAN ONLINE